Penghuni tirai besi Puncak Borneo hasilkan PPE tatkala Aidilfitri berkunjung tiba
Astro Awani
Mei 22, 2020 20:25 MYT
Mei 22, 2020 20:25 MYT
“Ini sahaja bantuan yang boleh kami berikan bagi menebus kesalahan kami, semoga usaha murni ini akan mampu membuatkan mereka menerima kami kembali suatu hari nanti,”.
Demikian luahan salah seorang daripada 24 penghuni penjara Puncak Borneo yang menjadi tulang belakang dalam menyiapkan keperluan pakaian perlindungan diri (PPE) untuk petugas barisan hadapan negara.
Menurut Sahmi (bukan nama sebenar), meskipun sumbangan itu tidak seberapa, tetapi mereka masih berbangga dengan usaha kecil ini.
Baginya, ini sahaja pengorbanan yang dapat dilakukan untuk petugas barisan hadapan.
“Ramai yang memberikan tunjuk ajar malah menyatakan sokongan moral untuk kami berusaha melakukan sesuatu demi kebaikan bersama.
“Jadi dengan sumbangan ini, kami berharap agar ia akan memberi manfaat kepada semua petugas barisan hadapan seterusnya diterima baik oleh masyarakat,” ujarnya.
Usaha murni ini merupakan projek dengan kerjasama Tanoti House dan Sarawak Multimedia Authority (SMA) bagi memperlihatkan sumbangan bakti di sebalik penghuni tirai besi.
Menurut Pengarah Penjara Sarawak, Ajidin Salleh, usaha ini akan terus dilakukan selagi ada permintaan.daripada pihak kesihatan dan barisan hadapan negara.
“Saya menyahut baik hasrat penghuni yang terlibat, meskipun mereka berada di dalam kurungan tetapi mereka berbangga sebagai warganegara Malaysia kerana dapat menyumbang sesuatu kepada negara.
“Walaupun sumbangan ini dilihat kecil tetapi ia tetap dapat menyumbang ke arah mencegah penularan jangkitan COVID-19 yang menjadi masalah bukan negara kita sahaja tapi di seluruh dunia setakat ini,” tambahnya.
Setakat ini sejumlah 63 orang keseluruhan penghuni penjara Kuching, Puncak Borneo dan Miri terlibat dalam projek menghasilkan PPE ini.
#AWANI Sarawak
#COVID-19
#Kuching
#Miri
#PPE
#Puncak Borneo
#Sarawak
#Sarawak Multimedia Authority
#SMA
#Tanoti House