Penghuni rumah pangsa sukar amal jarak sosial akibat saiz lif kecil
Bernama
April 30, 2020 06:59 MYT
April 30, 2020 06:59 MYT
Bayangkan anda berada di dalam sebuah lif bersaiz lima kaki panjang dan tiga kaki lebar, adakah anda mampu mengamalkan jarak sosial?
Sudah tentu agak sukar untuk mempraktikkan jarak sosial sekurang-kurangnya satu meter dalam ruang yang sebegitu kecil.
Itu masalah yang dialami penghuni rumah pangsa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Taman Free School, di sini apabila tiga blok rumah pangsa 11 tingkat itu masing-masing hanya mempunyai satu kemudahan lif dengan saiz sebesar lima kaki panjang dan tiga kaki lebar.
Seorang penduduk, Nur Atirah Firdaus, 19, berkata lif itu hanya mampu menampung lima hingga enam orang dalam satu masa dan itu pun dalam keadaan berhimpit.
"Lif ini memang tidak boleh naik ramai-ramai, paling maksimum pun lima atau enam orang...itu pun sesak dah. Kadang-kadang kalau dalam kumpulan yang ramai, kami terpaksa menunggu giliran untuk naik lif," katanya kepada Bernama.
Nur Atirah yang bekerja sebagai juruwang di sebuah pasar raya di George Town berkata ruang lif yang kecil itu juga menyukarkan pihak hospital membawa pesakit yang berada di tingkat atas untuk turun kerana mereka perlu meletakkan katil dalam posisi menegak.
"Kalau ada kematian, jenazah perlu didirikan kerana ruang yang sempit. Kalau lif rosak kami terpaksa menggunakan tangga," katanya yang tinggal di rumah pangsa itu selama tiga tahun.
Seorang suri rumah, S. Radha, 66, yang sudah menetap di situ sejak 27 tahun lepas berkata kebanyakan penghuni di kawasan itu adalah warga emas dan rata-rata mereka tinggal di tingkat atas.
Lif itu juga kerap rosak terutamanya jika ada penghuni yang menggunakannya untuk memindahkan barang yang berat.
"Kalau ada yang bawa barang besar memang penghuni yang lain tak boleh guna lif sebab sudah penuh. Penduduk sebelum ini sudah beberapa kali membuat aduan minta pihak pengurusan menukar lif yang lebih besar, namun tiada tindakan susulan daripada pihak berkaitan," katanya.
Suami Radha, T. Rajendran, 72, juga berpendapat pihak pengurusan perlu menambah sekurang-kurangnya sebuah lagi lif di setiap blok bagi menampung keperluan penghuni dan keperluannya adalah mendesak memandangkan dengan penularan pandemik COVID-19 ketika ini.
"Dengan keadaan lif yang kecil seperti ini kita nak amalkan jarak sosial pun susah. Selalunya kalau dalam lif itu ramai saya mengelak daripada naik lif itu dan tunggu untuk 'trip' seterusnya. Pihak pengurusan pun tidak mengawal kemasukan penghuni dalam lif pada satu masa," kata bekas kakitangan MBPP itu.
Sementara itu, seorang lagi penghuni Chan Soo Chee, 57, berkata sebelum ini lif yang ada di situ bersaiz besar yang boleh memuatkan lapan orang dalam satu masa, namun ia ditukar kepada saiz yang lebih kecil.
"Saya pun tidak tahu mengapa lif itu ditukar kepada saiz yang lebih kecil sejak 20 tahun lepas. Bulan lepas pihak berkaitan ada datang mengambil ukuran lif tapi saya tidak nampak ada kerja-kerja pembaikan dilakukan. Lif ini perlu ditukar segera demi keselamatan dan kesihatan penghuni di sini," katanya.
-- BERNAMA
#COVID-19
#jarak sosial
#keselamatan
#kesihatan
#lif kecil
#Majlis Bandaraya Pulau Pinang
#Penduduk
#penjarakan sosial
#rumah pangsa
#Taman Free School