Penghuni pusat kebajikan didakwa bunuh rakan

Astro Awani
April 11, 2019 11:22 MYT
Riduan dituduh melakukan kesalahan pada sekitar jam 3.30 petang di belakang asrama lelaki di Villa Harapan pada 1 April lalu. - Astro AWANI
Seorang penghuni sebuah pusat kebajikan berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakannya dua minggu lalu.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Riduan Abd Samad, 38 tahun, sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Lee Kim Keat.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang merupakan penghuni Pusat Pertubuhan Kebajikan Villa Harapan didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian seorang penghuni lain di pusat sama, Mazeline Sabtu, 53 tahun.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh sekitar 3.30 petang di belakang asrama lelaki di villa berkenaan yang di Jalan Tebing Tinggi Duyong, Melaka, 1 April lalu.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati mandatori mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memberitahu, dia mempunyai masalah kesihatan mental.
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dirujuk ke Hospital Permai Johor Bahru untuk pemeriksaan kesihatan mental dan menetapkan 10 Mei depan bagi sebutan semula kes.
#asrama #bunuh #Hospital Permai Johor Bahru #hukuman gantung #hukuman mati mandatori #Kanun Keseksaan #kematian #kesihatan mental #mahkamah #Mahkamah Majistret #masalah mental #melakukan bunuh #penghuni #pusat kebajikan #Villa Harapan