Penghuni pusat jagaan didakwa bunuh rakan penghuni

Abd Razak Mohd Ali
Ogos 29, 2023 11:30 MYT
Tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Selasa. - Astro AWANI
IPOH: Seorang penghuni pusat jagaan orang dewasa di Chemor didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh pada Selasa atas tuduhan membunuh rakan penghuni lain, minggu lepas.
Tertuduh, Lai Mun Kong, 50, mengangguk faham apabila pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Jesseca Daimis.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana ia melibatkan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja melakukan bunuh sehingga menyebabkan kematian Lim Han Tong, 42, yang juga penghuni pusat jagaan sama.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di dalam tandas Blok A, Pusat Jagaan Maju Jaya, Chemor antara jam 6 pagi hingga 6.50 pagi, 24 Ogos lalu.
Tertuduh yang berasal Kuala Lumpur didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 29 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan laporan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aqilah Syaza Ariffin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
#pusat jagaan #penghuni #bunuh #Lai Mun Kong
;