Penghuni Flat Bukit Kecil dakwa kerajaan negeri tidak serius tangani masalah tanah runtuh
Bernama
Ogos 3, 2023 09:30 MYT
Ogos 3, 2023 09:30 MYT
KUALA TERENGGANU: Hampir setahun runtuhan tanah di lereng bukit berhampiran Pangsapuri Bukit Kecil di sini berlaku namun sehingga kini, penduduk mendakwa tiada sebarang kerja baik pulih berskala besar dilakukan oleh pihak berwajib.
Hasnah Kasim, 65, berkata pelbagai aduan telah disuarakan oleh penduduk setempat dan gesaan agar tindakan lebih drastik diambil oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan PAS dan pihak berkuasa tempatan namun malangnya, ia ibarat 'mencurah air ke daun keladi.'
"Masa kejadian itu, macam-macam yang dijanjikan. Bagi kami penduduk di sini, benda kalau betul mereka hendak selesaikan dah lama mereka akan buat tetapi seperti itu juga keadaannya sampai sekarang," katanya kepada Bernama di sini semalam.
Tinggal bertiga dengan suami dan kakak iparnya di sebuah rumah yang terletak kira-kira 50 meter dari lereng bukit itu, Hasnah sering diserang kebimbangan lebih-lebih lagi apabila melihat bongkah batu besar di atas bukit hanya menunggu masa untuk bergolek jatuh.
"Banyak kereta yang diparkir di bawah lereng bukit itu kerana ruang yang terhad di sini. Tambahan pula, di situ jugalah tempat kanak-kanak bermain pada waktu petang. Kenalah buat sesuatu, jangan sampai ada nyawa terkorban baru nak ambil tindakan," kata warga emas yang sudah 15 tahun menetap di situ.
Bagi Laili Ramli, 41, alasan yang diberikan oleh pihak berkuasa bahawa pergerakan tanah dan batuan di lokasi runtuhan menyebabkan kerja baik pulih tidak dapat dilakukan adalah tidak logik sama sekali.
"Kami lihat mereka macam pandang remeh sahaja. Selain pasang kanvas, mereka cuma letak konkrit untuk tutup jalan berhampiran kawasan runtuhan... itu sahaja.
"Kami risau, tidak lama lagi musim tengkujuh pula sebab benda kalau nak jadi, sekelip mata sahaja," katanya.
Tinjauan Bernama di lokasi runtuhan mendapati hanya kanvas yang dipasang oleh pihak bertanggungjawab bagi menghalang runtuhan baharu namun jelas kelihatan material itu telah terkoyak dan seperti tidak lagi mampu berfungsi dengan berkesan.
-- BERNAMA