Penghidap HIV/AIDS tidak lagi didiskriminasi dapatkan kerja - MAC

Bernama
Oktober 16, 2018 21:01 MYT
Presiden MAC Bakhtiar Talhah berkata, pihaknya sudahpun mempunyai garis panduan di tempat kerja bagi orang menghidap HIV. - Gambar hiasan/unsplash.com
Majlis AIDS Malaysia (MAC) sedang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Sumber Manusia berhubung dasar untuk menentukan penghidap HIV/AIDS termasuk mereka yang sedang mendapatkan rawatan tidak didiskriminasi dalam mendapatkan pekerjaan.
Presiden MAC Bakhtiar Talhah berkata hal ini penting kerana kebanyakan mereka yang terjejas adalah dalam kumpulan usia antara 18 dan 40 tahun yang perlu mendapat kerja sepertimana orang lain dalam kumpulan usia tersebut.
"Jadi, asalkan mereka mendapatkan rawatan sempurna untuk HIV/AIDS, yang percuma di Malaysia, tentunya mereka cukup sihat untuk diambil bekerja," katanya pada sidang akhbar mengenai Anugerah Tun Dr Siti Hasmah Majlis AIDS Malaysia di sini hari ini.
"Sebenarnya, kita sudahpun mempunyai garis panduan di tempat kerja bagi orang menghidap HIV dan kini kami cuba menjadikannya undang-undang paling awal tahun depan," kata beliau.
Beliau berkata keadaan wabak itu di Malaysia kini bertambah baik dengan kadar notifikasi 2017 menurun sebanyak 60 peratus dengan nisbah tertinggi 28.4 dalam setiap 100,000 orang pada 2002 menurun kepada 10.3 tahun lepas.
Sementara itu, Bakhtiar berkata Anugerah Tun Dr Siti Hasmah Award akan kembali diadakan selepas ditiadakan selama enam tahun, dan akan disampaikan pada 16 Dis di Hilton Kuala Lumpur.
"Anugerah itu sebagai mengiktiraf sumbangan cemerlang oleh organisasi dan individu ke arah memenuhi matlamat menghapsukan wabak AIDS di Malaysia.
"Kembalinya acara itu adalah signifikan kerana ia menonjolkan usaha menentang HIV/AIDS dan membantu meningkatkan dana yang begitu diperlukan dengan sasaran RM2.5 juta dari majlis jamuan malam serta dari aktiviti dan program-program lain," kata beliau.
-- BERNAMA
#AIDS #diskriminasi #HIV #majikan #Pekerja #peluang pekerjaan
;