Penghayatan Modul Hadis 40 mampu tangani gejala radikalisme, ekstremisme
Bernama
Ogos 30, 2023 18:36 MYT
Ogos 30, 2023 18:36 MYT
KUALA LUMPUR: Penghayatan Modul Hadis 40 Imam Nawawi yang akan diperkenalkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan penting bagi menangani gejala radikalisme dan ekstremisme dalam masyarakat.
Menurut Pejabat Menteri Pendidikan dalam kenyataan, Kementerian Pendidikan (KPM) komited untuk melaksanakan inisiatif itu kerana ia akan memberi impak positif serta gambaran sebenar nilai-nilai kesejagatan Islam serta pengamalannya dalam masyarakat majmuk di Malaysia.
KPM turut memaklumkan inisiatif itu hanya melibatkan guru dan murid beragama Islam dan hanya akan dikembangkan ke sekolah-sekolah lain kemudian untuk kelas mata pelajaran Pendidikan Islam sahaja.
"Pelaksanaan Inisiatif Penghayatan Modul Hadis 40 Imam Nawawi tidak akan melibatkan murid bukan Islam," menurut kenyataan itu.
Pejabat itu turut memaklumkan bahawa Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek telah menganjurkan pertemuan dengan 16 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mewakili pelbagai latar belakang masyarakat, Selasa lepas, bagi membincangkan inisiatif itu serta pelaksanaannya, selain perkara lain berkaitan pendidikan negara.
Menurut kenyataan itu, pertemuan tersebut berlangsung dalam suasana muhibah, mencerminkan keterbukaan, kesepakatan dan komitmen semua pihak dalam membina Malaysia MADANI berdasarkan kepada formula kepelbagaian dalam bingkai kesatuan.
"Sesi pertemuan seperti ini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi menyampaikan maklumat tepat mengenai inisiatif-inisiatif KPM.
"Ruang dialog juga dibuka seluasnya selaras dengan salah satu teras utama KPM iaitu untuk memperkasa komunikasi antara kementerian dengan setiap pemegang taruh," menurut kenyataan itu.
Berikut 16 NGO dan seorang ahli akademik yang menyertai perbincangan Inisiatif Penghayatan Modul Hadis 40 Imam Nawawi:
-- BERNAMA