Penghasilan dedak tempatan kritikal bagi kurangkan kos operasi

Bernama
November 8, 2023 12:20 MYT
Sebelum pandemik COVID-19, harga sekampit dedak 50 kilogram hanya RM85, namun sekarang ia mencecah hingga RM135, yang turut didorong faktor peperangan Ukraine dan Rusia. - Gambar hiasan
ALOR SETAR: Usaha penghasilan dedak tempatan dilihat semakin penting dalam mengurangkan kos operasi ladang ternakan, sekali gus mewujudkan harga ayam yang stabil di pasaran dan tidak membebankan pengguna pada masa depan.
Pakar Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Shazida Jan Mohd Khan berkata isu harga ayam amat kritikal sekiranya berlaku kenaikan mendadak dalam bahan makanan ayam atau dedak terutama jagung dan kacang soya kerana sebahagian besarnya diimport ekoran bekalan domestik terhad, susulan langkah apungan harga ayam.
Beliau berkata sebelum pandemik COVID-19, harga sekampit dedak 50 kilogram hanya RM85, namun sekarang ia mencecah hingga RM135, yang turut didorong faktor peperangan Ukraine dan Rusia.
Selain makanan ternakan, Shazida Jan berkata peladang turut menghadapi pelbagai kos lain seperti ubat-ubatan dan penyelenggaraan reban, di samping kesukaran mendapatkan pekerja dalam bidang penternakan.
"Pengguna bimbang kemungkinan kenaikan harga akan berlaku akibat faktor-faktor ini. Justeru, perlu ada inisiatif yang bersungguh-sungguh dalam menghasilkan dedak tempatan dan mampu memenuhi keperluan penternak," katanya kepada Bernama.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sebelum ini menyatakan kerajaan boleh melaksanakan langkah intervensi di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) bagi memastikan ayam dijual pada harga tidak membebankan rakyat, berikutan langkah penamatan subsidi dan kawalan harga ayam berkuat kuasa 1 Nov lepas.
Penamatan subsidi secara pukal itu bertujuan mengurangkan ketirisan subsidi yang turut dinikmati warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.
Mengulas lanjut, Shazida Jan berkata pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (RD) perlu bergerak segera dan mendapat sokongan padu kerajaan dalam mewujudkan ekosistem penciptaan dan penggunaan teknologi terkini bagi penghasilan dedak tempatan.
Beliau berkata antara sumber yang boleh digunakan ialah isirung kelapa sawit yang berpotensi diproses dan dijadikan makanan haiwan ternakan.
Sementara itu, penternak yang juga pembekal ayam segar di Alor Setar, Mazlina Kamarudin berkata peningkatan kos ternakan akibat harga anak ayam dan dedak yang tinggi akan menyebabkan bekalan ayam di pasaran berkurangan.
"Sebagai penternak kecil, saya pohon supaya kerajaan melihat kepada harga anak ayam dan dedak, ramai penternak kecil tak ada anak ayam dan dedak ... saya sendiri akan kurangkan (pembelian) anak ayam jika harga terlalu mahal, nak jaga perniagaan," katanya.
Mazlina juga berharap apungan harga ayam berterusan dan bukan hanya berlaku ketika bekalan ayam banyak di pasaran bagi mengurangkan kerugian ditanggung penternak.
-- BERNAMA
#dedak #universiti utara malaysia #Harga Ayam #apungan harga
;