Penghasilan baja kompos daripada sisa makanan di rumah

Tan Su Lin
Jun 24, 2015 19:25 MYT
Jaron mencadangkan kaedah paling mudah dan berkesan adalah menerusi kaedah kompos Takakura. - Gambar Astro AWANI/Tan Su Lin
Setiap kali anda membuang sisa makanan yang berlebihan, pernahkah anda terfikir, ia sebenarnya boleh dikitar semula untuk menghasilkan baja organik?
Bayangkan berapa banyak kawasan tapak pelupusan sampah yang dapat dijimatkan dengan mengitar semula sisa makanan untuk menjadikan baja kompos.
Di Malaysia, 45 peratus daripada keseluruhan komposisi sisa pepejal yang dibuang setiap hari terdiri daripada sisa makanan.
Dengan membuat kompos sendiri ternyata ia dapat mengurangkan masalah pembuangan sampah selain dapat menjimatkan kos membeli baja kimia.
Menurut Pengurus Kempen Sifar Sisa Universiti Malaya, Jaron Keng, hanya berbekalkan bekas untuk menyimpan kompos tanpa menggunakan peralatan mahal, baja kompos boleh dihasilkan di rumah dengan cara yang mudah.
"Langkah pertama, sediakan tong drum atau bekas yang mempunyai pengudaraan. Kedua, letakkan kompos yang telah siap dan mengandungi bakteria untuk mempercepatkan penguraian sisa makanan."
"Setiap dua hari gaul sisa makanan dengan kompos dan tutup balik bekas itu. Selepas dua minggu, sisa makanan akan mula diurai dan menjadi kompos," jelas Jaron yang turut menguruskan tapak pengkomposan di Pusat Kempen Sifar Sisa di Universiti Malaya, di sini.
Namun sebelum proses pembuatan kompos dijalankan, larutan pengurai yang mengandungi mikro organisma perlu disediakan terlebih dahulu.
Jaron Keng, Pengurus Kempen Sifar Sisa Universiti Malaya (UM) menunjukkan kompos yang berjaya dihasilkan. Di UM, 5,000 kg sampah yang dikutip setiap bulan digunakan semula untuk menghasilkan 400 kg kompos. - Foto Astro AWANI/Tan Sui Lin
Jaron mencadangkan kaedah paling mudah dan berkesan adalah menerusi kaedah kompos 'Takakura'.
"Kaedah ini memerlukan dua larutan iaitu larutan 'masin' di mana anda masukkan cebisan sayur-sayuran dan beberapa kulit buah dalam bekas mengandungi air bersih dan masukkan garam."
"Untuk larutan kedua, letakkan tauhu, tempe dan gula dalam bekas air yang berbeza. Tauhu dan tempe mengandungi mikro organisma yang bertindak sebagai agen untuk memulakan proses kompos. Anda juga boleh tambah cendawan atau dadih," jelas Jaron.
Dua jenis larutan mengandungi microorganisma yang diperlukan untuk memulakan proses pengkomposan. - Foto Astro AWANI/Tan Sui Lin
Kedua jenis larutan disimpan untuk tempoh tiga hingga empat hari dan akan dicampurkan dalam tong drum yang telah diisi dengan serkam padi atau daun-daun kering yang dicampurkan dengan dedak ayam.
"Campur kesemuanya dalam bekas dan tutup dan dalam jangkamasa sehari dua, suhunya akan meningkat. Kalau tidak panas bermakna sudah gagal kalau panas maknanya sudah berjaya menghasilkan kompos."
"Selepas sehari anda boleh campur sisa makanan bermula dengan nasi, sayur, buah-buahan diikuti dengan daging dan tutup bekas itu. Selang beberapa hari, buka penutup bekas dan gaulkan sisa makanan untuk membolehkan udara masuk bagi membantu sistem penguraian," kata Jaron.
Kelebihan kaedah ini juga kata Jaron, ia dapat menghasilkan kompos yang tidak berbau busuk.
Amalan pengkomposan telah mula dilaksanakan di Universiti Malaya di bawah Program Kempen Sifar Sisa yang telah diperkenalkan sejak 2011.
Setiap bulan, sebanyak 5,000 kg sisa makanan yang dikutip di asrama dan kafeteria seluruh universiti itu berjaya diguna semula untuk menghasilkan 400 kg baja kompos.
Terbaru, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga mengumumkan cadangan memproses sisa makanan menjadi baja kompos untuk kegunaan membaja kawasan landskap di sekitar ibu kota.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Phesal Talib menyifatkan ia sebagai langkah terakhir bagi mengatasi masalah pembaziran makanan yang kritikal dan perlu diatasi segera.
Rakyat Malaysia dilaporkan membuang kira-kira 270,000 tan makanan yang tidak diusik dan boleh dimakan semula sepanjang bulan Ramadan.
Makanan yang dibazirkan itu boleh diberi makan kepada 180 juta orang, iaitu enam kali ganda melebihi populasi negara ini iaitu seramai 27 juta.
#baja organik #kompos #sisa pepejal
;