Penghapusan rasuah sebagai agenda ketiga negara

Sinar Harian
September 1, 2021 12:41 MYT
Secara asasnya, #RasuahBusters merupakan ejen dan rakan seperjuangan di peringkat akar umbi yang berupaya membantu Yang Berhormat menjadikan negara kita lebih berjaya.
KEPADA Ahli-ahli Parlimen yang dihormati:-
#RasuahBusters adalah gabungan yang terdiri daripada lebih 300 organisasi teguh dengan jutaan ahli dan penyokong. Manakala 14 ahli Pasukan Teras yang bertandatangan di bawah bertindak sebagai penyelaras dan pemudah cara.
Ketua Pasukan kami adalah Datuk Hussamuddin Yaacub. Kami adalah hati nurani Negara. Matlamat kami adalah mudah dan jelas – menghapuskan rasuah di Malaysia sama ada rasuah besar mahupun kecil, konvensional dan bukan konvensional serta di sektor awam dan juga swasta.
Secara asasnya, #RasuahBusters merupakan ejen dan rakan seperjuangan di peringkat akar umbi yang berupaya membantu Yang Berhormat menjadikan negara kita lebih berjaya.
Oleh itu, Yang Berhormat boleh mengharapkan sokongan dan dedikasi daripada kami. Marilah kita sama-sama menetapkan matlamat untuk menjadikan Malaysia antara 10 negara teratas bebas rasuah dalam masa yang terdekat.
Kami pasti bahawasanya Yang Berhormat juga berkongsi harapan dan impian yang sama dengan kami.
Kami juga yakin inilah salah satu sebabnya Yang Berhormat menceburi bidang politik, iaitu untuk berkhidmat dan membina Malaysia yang lebih telus dan lebih baik serta bersih daripada rasuah.
Bagaimanapun, kami amat memerlukan sokongan Yang Berhormat, iaitu dokongan Yang Berhormat untuk menjadikan pembanterasan rasuah sebagai salah satu daripada teras tumpuan pada waktu ini, selain isu ekonomi dan COVID-19 (rujuk rajah di bawah).
Dengan menjadikan pembanterasan rasuah sebagai salah satu teras utama, kita akan dapat memberi perhatian yang sewajarnya ke atas aspek-aspek yang lain seperti penggubalan Undang-Undang Pembiayaan Dana Politik dan Akta Antilompat Parti serta pembaharuan struktur institusi negara.
Sukacita ingin kami maklumkan bahawa #RasuahBusters sudah pun memulakan inisiatif-inisiatif pada peringkat akar umbi.
Kami telah menyusun atur gabungan kami kepada kumpulan-kumpulan tertentu yang diberi mandat dan tanggungjawab untuk menangani isu-isu yang spesifik di bawah kempen #MalaysiaTanpaRasuah, #BisnesTanpaRasuah, #BeliaBenciRasuah dan #PilihanrayaTanpaRasuah.
Besar kemungkinan, Yang Berhormat juga telah pun melihat kempen-kempen kesedaran kami seperti Kempen Mak Kata Jangan, Merdekakan Kami Daripada Rasuah dan Apa Dah Jadi (Sampai Sekarang Rasuah Lagi)?.
Kami, #RasuahBusters berhasrat untuk bekerjasama, bersama dan melalui Yang Berhormat, para Ahli-ahli Parlimen Malaysia yang dihormati sekalian. Justeru, kami akan saling terus berhubung dengan Yang Berhormat.
Kami memberi jaminan untuk meneruskan usaha-usaha yang telah dilaksanakan dan Yang Berhormat boleh meletakkan kepercayaan ke atas kami tanpa sebarang keraguan dalam usaha Yang Berhormat membanteras rasuah.
Kami berjanji untuk berganding bahu bersama Yang Berhormat dengan penuh dedikasi untuk mencapai matlamat bersama – membanteras rasuah – dengan efektif dan secara holistik.
Namun, bagi menjayakan usaha #RasuahBusters bersama Yang Berhormat membanteras rasuah, kami memerlukan kepimpinan Yang Berhormat di peringkat Parlimen.
Kami amat berharap agar Yang Berhormat akan bersungguh-sungguh membawa cadangan ini ke Parlimen.
Ayuh kita jadikan penghapusan rasuah sebagai agenda ketiga negara seiring dengan pengendalian isu ekonomi dan COVID-19.
Sekian, terima kasih.
Merdekakan Malaysia Daripada Rasuah.
PASUKAN TERAS RASUAH BUSTERS
DATUK HUSSAMUDDIN YAACUB
SHAH HAKIM ZAIN
HARMANDAR SINGH
ANAS ZUBEDY
NURHAYATI NORDIN
FARAH HUSSAMUDDIN
RICHARD DEVARAJ
DATUK DR RAIS HUSIN
G MANIMARAN
CHIEW RUOH PENG
JONSON CHONG
ROZAID ABDUL RAHMAN
MARHAINI YUSOFF
FAZRUL ISMAIL
ARTIKEL ASAL DISIARKAN DI SINAR HARIAN: Penghapusan rasuah sebagai agenda ketiga negara
#Hussamuddin Yaacub #ekonomi #bebas rasuah #rasuah busters
;