Penghantaran vaksin ke Langkawi, Perlis dikawal ketat - Polis Pulau Pinang
Dewi Nur Harasha Alias
Februari 25, 2021 09:23 MYT
Februari 25, 2021 09:23 MYT
BAYAN LEPAS: Kenderaan yang membawa vaksin COVID-19 untuk dihantar ke Langkawi dan Perlis berlepas dari gudang penyimpanan vaksin di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini kira-kira jam 7 pagi tadi.
Tinjauan di kawasan itu mendapati, sebuah lori syarikat penghantar DHL keluar dari gudang tersebut dengan kawalan keselamatan ketat oleh pihak polis.
Enam motosikal peronda, dua kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kenderaan pacuan empat roda, dilihat mengiringi sebuah lori DHL yang membawa vaksin itu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan ketika dihubungi berkata, kawalan keselamatan oleh pihak polis bagi memastikan semua urusan penghantaran vaksin dari Pulau Pinang ke lokasi seterusnya berjalan lancar dan selamat.