Penghantaran vaksin COVID-19 fasa pertama ke bahagian Kuching dan Sibu bermula esok
Nuzuluddin Abdul Razak, Fadilah Sulaiman
Februari 24, 2021 21:26 MYT
Februari 24, 2021 21:26 MYT
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan meneruskan proses penghantaran vaksin Pfizer BioNTech yang diterima hari ini bermula esok.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) Dr Chin Zin Hing memaklumkan vaksin yang disimpan di Pusat Simpan Vaksin (PSV) di Kuching akan dihantar ke PSV Sibu sebelum diagihkan ke pusat vaksinasi tertentu.
"Esok kita akan hantar vaksin ini ke Pusat Simpanan Vaksinasi (PSV) Sibu.
"Selain Sibu, vaksin COVID-19 ini akan disimpan di bahagian Kuching yang kemudiannya dihantar ke pusat vaksinasi di Samarahan, Serian, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Kapit dan Mukah," katanya dalam sidang media di Pusat Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada Rabu.
Sementara itu menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM30 juta untuk menyokong logistik penghantaran vaksin.
Katanya, kerjasama erat antara Pejabat Residen, JPBN Sarawak dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak akan memudahkan persediaan logistik terutama melibatkan penghantaran ke pedalaman.
“Proses ini sangat rumit dan memerlukan perancangan yang teliti, tenaga kerja yang ramai dan peralatan yang mencukupi.
“Pengalaman yang ada pada JPBN Sarawak dalam menguruskan krisis akan membantu kita mendepani cabaran yang sangat besar ini,” ujarnya dalam sidang media yang sama.
Untuk makluman penghantara dos vaksin fasa pertama di Sarawak akan dilakukan secara beringkat iaitu sebanyak 31,590 dos masing-masing 4,680 dos, 24 Mac 14,040 dos dan 31 Mac 9,360 dos.
Fasa pertama akan bermula Jumaat ini sehingga 31 Mac 2021 yang akan merangkumi seramai 97,161 petugas barisan hadapan.
Sementara fasa kedua dan ketiga akan bermula 1 April 2021 dan dijangka selesai 31 Ogos 2021.
Sarawak menjangkakan pelaksanaan program imuniasi di Sarawak akan mencapai 70 peratus daripada 2.8 juta populasi di negeri itu.
#Penghantaran vaksin Sarawak
#Dr Chin Zin Hing
#Pusat Simpanan Vaksinasi
#Sibu
#JPBN Sarawak
#logistik
#vaksin COVID-19