Penghantaran pulang pekerja asing beri kesan negatif - MEF
Israr Khalid
Jun 28, 2015 17:28 MYT
Jun 28, 2015 17:28 MYT
Langkah menghantar pulang pekerja asing sedia ada sebelum membawa masuk 1.5 juta pekerja warga Bangladesh ke negara ini dilihat bakal memberi kesan negatif kepada industri di pelbagai sektor.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berpendapat, proses pengambilan dan penghantaran pekerja asing sepatutnya berlaku secara berterusan bagi mengelakkan kelopongan tenaga kerja.
“Kita tahu bahawa pekerja asing ni ada had atau tempoh tertentu untuk tinggal di negara ini. Apabila tamat kelak, mereka akan dihantar kembali ke negara masing-masing atau permit mereka diperbaharui.
“Bagaimanapun dalam hal ini, apabila mereka dihantar kembali ke negara asal, kita akan menghadapi masalah sekiranya pekerja baharu tidak dibawa masuk dengan segera lantas tidak dapat memenuhi kekosongan yang ditinggalkan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Tambah Shamsuddin, cadangan membawa masuk pekerja asing itu juga perlu disemak semula.
“Pasaran kerja di Malaysia pada ketika ini agak perlahan dan hambar. Sekiranya kita bergantung kepada tenaga kerja asing, sudah pasti ia akan menutup peluang warga tempatan mendapat pekerjaan di pelbagai peringkat dalam pelbagai industri.
“Selain itu, ia sudah pasti menimbulkan pelbagai masalah lain seperti prasarana, logistik dan lebih membimbangkan masalah sosial seperti jenayah dan bermacam lagi,” jelasnya.
Ketika ini, dianggarkan kira-kira dua juta warga asing bekerja di negara ini secara sah, manakala jumlah pendatang asing tanpa izin (PATI) pula sekitar dua hingga tiga juta.
“Bukan semua pekerja asing ini bekerja dengan majikan. Sebahagian besar daripada mereka menjalankan pekerjaan sendiri seperti berniaga dan sebagainya.
“Kalau kita lihat keperluan tenaga kerja asing di sektor swasta, ia tidaklah begitu tinggi.
“Sebelum ini kerajaan pernah menyatakan untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dan kami di MEF sememangnya menyokong penuh hasrat tersebut.
“Namun cadangan untuk membawa masuk 1.5 juta pekerja asing warga Bangladesh itu agak mengejutkan,” katanya.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu memaklumkan bahawa kira-kira 1.5 juta pekerja asing warga Bangladesh akan dibawa masuk ke negara ini secara berperingkat selama tiga tahun.
Ia sebagai langkah kerajaan mencari jalan bagi memenuhi permintaan pasaran terhadap kekurangan pekerja dalam sektor perladangan, pembinaan serta perkhidmatan.
Kerajaan Malaysia juga sedang menjalankan perbincangan dengan kerajaan Bangladesh dan perjanjian dikatakan akan termeterai sekitar Julai di Dhaka.
Pekerja Bangladesh yang akan dibawa masuk ke negara ini akan dilatih terlebih dahulu di negara itu dan menjadi pekerja separa mahir dan pekerja yang memenuhi spesifikasi keperluan khusus majikan di Malaysia.
Majikan akan dikenakan empat syarat sekiranya ingin menggaji pekerja Bangladesh iaitu pekerja mesti diberikan perlindungan insurans, kemudahan kediaman secara berpusat, pembayaran gaji melalui bank, dan perlindungan keselamatan sewajarnya.
Dalam pada itu, Shamsuddin berkata, keengganan warga tempatan untuk mengambil peluang pekerjaan juga dilihat sebagai antara faktor mengapa kerajaan terpaksa memerlukan khidmat asing.
“Rakyat kita memilih kerja. Mereka mahukan gaji berpatutan dengan senario kewangan masa kini dan tidak suka bekerja pada sektor yang dilihat kotor dan memenatkan.
“Mungkin kita perlu lihat semula gaji minimum dalam sektor berkaitan dan ubah cara kerja atau ‘rebrand’ pekerjaan tersebut supaya ia lebih dilihat menarik dan meyakinkan”, katanya.