Penghantaran pulang anak panda gergasi dilaksanakan mengikut perjanjian China-Malaysia - NRECC
Bernama
Ogos 25, 2023 20:35 MYT
Ogos 25, 2023 20:35 MYT
KUALA LUMPUR: Penghantaran pulang dua anak panda gergasi Liang Liang, iaitu Yi Yi dan Sheng Yi ke China pada 29 Ogos ini dilaksanakan sebagai mematuhi Perjanjian Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda antara Malaysia dan China.
Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebelum ini cadangan penghantaran Yi Yi tertangguh disebabkan penutupan pintu masuk ke China akibat penularan pandemik COVID-19.
Menurutnya Liang Liang dan pasangannya Xing Xing dipinjamkan oleh China kepada Malaysia pada 21 Mei 2014 sempena sambutan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara Malaysia dan republik itu.
"Tempoh pinjaman adalah selama 10 tahun bermula daripada tarikh ketibaan pasangan panda gergasi berkenaan di Malaysia dan melalui hasil kejayaan konservasi ex-situ Malaysia, panda gergasi Liang Liang telah melahirkan tiga ekor anak betina iaitu Nuan Nuan, Yi Yi dan Sheng Yi.
Anak panda gergasi pertama, Nuan Nuan telah dihantar pulang ke China pada tahun 2017, manakala Yi Yi dan Sheng Yi akan dihantar pulang pada 29 Ogos ini (Selasa)," menurut kenyataan itu.
Minggu lepas Timbalan Presiden Zoo Negara Rosly @ Rahmat Ahmat Lana dilaporkan sebagai berkata Yi Yi dan Sheng Yi akan dihantar pulang ke China, namun republik itu belum menetapkan tarikh yang khusus untuk kedua-dua anak panda itu melakukan perjalanan.
Sementara itu NRECC berkata satu Majlis Sambutan Ulang Tahun Kelahiran ke-17 buat Xing Xing dan Liang Liang telah dilaksanakan pada 23 Ogos lepas di Pusat Konservasi Giant Panda (PKGP), Zoo Negara.
Ia dianjurkan oleh China Cultural Centre Kuala Lumpur (CCCKL) dengan kerjasama Zoo Negara, dan dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli) NRECC, Abdul Wahid Abu Salim.
Turut hadir wakil daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Pejabat Kedutaan Republik Rakyat China ke Malaysia, Malaysia-China Chamber of Commerce dan Malaysian Zoological Society (MZS).
"Majlis diserikan dengan pelbagai aktiviti sampingan seperti pertunjukan kebudayaan Sichuan serta pertandingan melukis dan mewarna. Ia dilihat dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara habitat dan spesies hidupan liar terancam, serta memperkukuh kerjasama antara kedua-dua negara.
"NRECC juga berharap diplomasi panda gergasi dapat mengukuhkan lagi persefahaman antara Malaysia dan China," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA