Penghantaran pesawat A330neo ditangguh, dijangka tiba akhir November 2024

Pia Ernadya
Oktober 15, 2024 21:09 MYT
Menurut Datuk Kapten Izham Ismail, pihaknya amat kecewa dengan kelewatan penghantaran pesawat oleh Airbus, ditambah dengan cabaran penghantaran Boeing 737-8.- Gambar fail
KUALA LUMPUR: Penghantaran pesawat A330neo pertama Malaysia Aviation Group (MAG) yang dijadualkan pada September lalu, ditangguhkan dan dijangka tiba pada akhir November 2024 nanti.
Menurut MAG, kelewatan itu berpunca daripada penemuan yang dikenal pasti oleh Airbus semasa pesawat berada di hangar penyelenggaraan.
Pada masa sama, MAG turut memaklumkan bahawa penerbangan sulung Malaysia Airlines menggunakan A330neo turut akan terjejas.
"Susulan kelewatan ini, MAG memaklumkan bahawa penerbangan sulung Malaysia Airlines menggunakan A330neo ke Melbourne pada 25 November 2024, serta penerbangan seterusnya yang dijadualkan dengan A330neo, akan terjejas.
"(Namun),penerbangan ini akan beroperasi semula dengan pesawat A330-300 tanpa perubahan jadual." ujarnya menerusi kenyataan media pada Selasa.
Setakat ini,pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan Airbus dan syarikat pajakan, Avolon, untuk menetapkan semula jadual penghantaran dan mempercepatkan kemasukan pesawat tersebut dalam perkhidmatan.
Ujarnya, Malaysia Airlines dijangka menerima lima pesawat A330neo menjelang suku pertama 2025.
Manakala, bagi penghantaran baki pesawat Boeing 737-8 yang lain, MAG sedang berkomunikasi dengan Boeing serta syarikat pajakan AirLease Corp sambil memantau perkembangan terkini.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail, pihaknya amat kecewa dengan kelewatan penghantaran pesawat oleh Airbus, ditambah dengan cabaran penghantaran Boeing 737-8.
Beliau berkata, kelewatan itu sangat mengganggu rancangan pemodenan armada dan keperluan pertumbuhannya.
"Ketika kami mengambil langkah tegas ke arah 2025 yang lebih kukuh, menyediakan aset yang diperlukan adalah penting untuk mencapai sasaran pertumbuhan kami, mengoptimumkan rangkaian kami dan terus menyampaikan perkhidmatan yang dipertingkatkan kepada pelanggan kami," katanya.
Ujarnya, MAG akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak berkaitan untuk meminimumkan gangguan sambil memastikan standard keselamatan berada pada tahan optimum.
#MAG #penerbangan #a330neo #tangguh penghantaran #Airbus
;