Penghantaran bantuan kemanusiaan ketiga Ops Ihsan tiba di Mesir
Bernama
Disember 19, 2023 18:36 MYT
Disember 19, 2023 18:36 MYT
KUALA LUMPUR: Penghantaran kali ketiga barangan bantuan kemanusiaan buat Palestin menerusi Ops Ihsan yang berlepas 2 pagi tadi selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa El-Arish, Mesir pada 7.50 pagi waktu tempatan.
Seketariat Ops Ihsan dalam kenyataan hari ini memaklumkan penerbangan yang mengambil masa selama hampir 11 jam dengan kekuatan 10 orang kru termasuk dua petugas media itu, tiba kira-kira satu jam lebih awal daripada jangkaan ketibaan asal.
Menurut kenyataan itu, ketibaan pesawat sewaan khas A330-200 MASKargo itu disambut pegawai Pengendalian Darat Lapangan Terbang Antarabangsa El-Arish bersama-sama pegawai Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir.
"Proses membawa keluar barangan dari pesawat mengambil masa kira-kira tiga jam.
"Barangan yang diterima oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir ini kemudiannya akan dibawa masuk ke Gaza melalui sempadan Rafah yang kemudiannya akan diserahkan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin yang bertanggungjawab menguruskan proses agihan kepada hospital-hospital dan juga masyarakat Gaza yang memerlukan," menurut kenyataan itu.
Penghantaran itu membawa sejumlah 60 tan barangan bantuan berbentuk ubat-ubatan, peralatan perubatan, makanan, keperluan bayi dan wanita serta keperluan musim sejuk yang bernilai RM3 juta.
Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan Jismi Johari dalam kenyataan sama menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung dalam usaha penghantaran bantuan kali ketiga ini.
Menurut beliau, usaha kolektif dan bersepadu antara Kementerian Luar Negeri (KLN), agensi-agensi kerajaan dan juga lebih 60 Badan Bukan Kerajaan serta semangat rakyat Malaysia, merupakan faktor utama kepada kejayaan Ops Ihsan.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan meninjau persiapan terakhir penghantaran ketiga misi bantuan kemanusiaan sumbangan Malaysia ke Palestin menerusi Ops Ihsan di Terminal Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.
-- BERNAMA