Penghantar makanan turun padang agih bantuan mangsa banjir

Hilmi Malik
Disember 24, 2021 17:37 MYT
Misi bantuan yang digerakkan itu merupakan hasil kerjasama dari penduduk setempat tanpa melibatkan pihak NGO mahupun politik. - Astro AWANI
HULU LANGAT: Sekumpulan penghantar makanan di Hulu Langat bersatu hati apabila turun padang secara bersama bagi aktiviti pengagihan bantuan kepada penduduk sekitar.
Kumpulan itu hadir dari pelbagai latar belakang syarikat penghantar makanan, dengan mengetepikan sebentar tugas hakiki untuk fokus kepada misi bantuan.
Difahamkan, kumpulan tersebut menggunakan pengangkutan sendiri bagi menghantar barangan keperluan asas di setiap kediaman penduduk terjejas.
Menurut wakil sukarelawan, Shahrizam Ismail, melihat kepada situasi tersebut membuatkan hatinya tersentuh.
"Mereka ini (penghantar makanan) memang sangat hebat.. ini orang hebat sebenar dalam keadaan rakyat susah mereka datang hulurkan pertolongan.
"Mereka sendiri tawarkan pertolongan tanpa mengharapkan sebarang balasan," katanya ketika ditemui di Pusat Bantuan Terra Pong Batu 18 pada Jumaat.
Mengulas lanjut, pihaknya sentiasa mengalukan-alukan pihak yang ingin menyalurkan bantuan khususnya membabitkan keperluan asas.
"Kita harapkan barangan keperluan asas seperti dapur masak, tilam, bantal, dan sebagainya untuk kegunaan harian mangsa.
"Mereka ini mangsa yang terkesan teruk. Rumah mereka kebanyakannya sudah roboh, jadi kita harapkan bantuan secara terus dari pihak luar," ujarnya.
Tambah Shahrizam, misi bantuan yang digerakkan di kawasannya merupakan hasil kerjasama dari penduduk setempat tanpa melibatkan pihak NGO mahupun politik.
Setakat ini, paras air di Hulu Langat kelihatan surut sepenuhnya bagaimanapun kesan lumpur yang tebal masih dikatakan kritikal.
Aktiviti ini terarah kepada usaha pembersihan di kawasan penduduk sekitar.
#sukarelawan #penghantar makanan #banjir #misi bantuan
;