Penghantar makanan maut motosikal bertembung kereta
Adie Sufian Zulkefli
Jun 22, 2024 17:40 MYT
Jun 22, 2024 17:40 MYT
SUNGAI PETANI: Seorang penghantar makanan meninggal dunia apabila motosikal ditungganginya terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Persiaran Amanjaya Dua, di sini, pada Sabtu.
Mangsa, Muhammad Hasmadi Jamil, 24, maut di tempat kejadian apabila parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa sedang menunggang motosikal jenis Honda EX5 sedang bergerak dari Taman Seroja menghala ke Jalan Alor Setar-Butterworth.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila sampai di tempat kejadian, motosikal mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas dan masuk kelaluan bertentangan.
“Sebuah kereta jenis Proton Iswara yang dipandu wanita berusia 26 tahun yang sedang bergerak dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian sisi sebelah kiri motosikal mangsa.
“Akibat daripada pelanggaran itu kedua-dua kenderaan itu terbabas ke bahu sebelah kanan jalan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Wan Azharuddin berkata, pemandu Proton Iswara terbabit mengalami patah tangan dan luka di badan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan lanjut.
Manakala mayat Muhammad Hasmadi dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.
#Muhammad Hasmadi Jamil
#penghantar makanan
#Jalan Persiaran Amanjaya Dua
#motosikal bertembung kereta