Penghantar makanan maut, motosikal bergesel bas
Sinar Harian
September 6, 2023 19:00 MYT
September 6, 2023 19:00 MYT
PETALING JAYA: Seorang penunggang p-hailing maut selepas motosikal ditunggangi hilang kawalan sebelum bergesel dengan sebuah bas di Lebuhraya Persekutuan di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kemalangan itu pada jam 8.31 malam.
"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pada 7.08 malam, mangsa merupakan seorang lelaki berusia 22 tahun bekerja sebagai penghantar makanan.
"Motosikal jenis Yamaha Lagenda yang ditunggang mangsa dipercayai telah hilang kawalan lalu bergesel dengan bas," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Mohamad Fakhrudin berkata, akibat kejadian tersebut mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan parah.
"Mangsa telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Beliau berkata, orang ramai yang melihat atau berada di tempat kejadian dimohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat trafik, Inspektor Mohd Hafeez Faesal A Aziz di talian 011-32311232 bagi membantu siasatan.
"Pihak polis mengingatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang-undang bagi mengelak sebarang kejadian kemalangan.
"Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang memandu secara berbahaya dan akan mengambil tindakan tegas kepada pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang," katanya.
*Artikel disiarkan di Sinar Harian