Penghantar makanan maut langgar lori

Sinar Harian
September 3, 2021 04:45 MYT
Motosikal yang ditunggang mangsa semasa kemalangan. - Foto Sinar Harian
KUALA KRAI: Seorang penghantar makanan maut apabila motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam satu kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Sungai Durian-Chenulang di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, mangsa yang maut, Muhamad Zul Iman Zulkifli, 17, dipercayai keluar untuk menghantar makanan namun berlanggar dengan lori berkenaan apabila sampai di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, pemandu lori berkenaan dipercayai dari kebun di Chenulang dan mahu pulang ke rumah di Kampung Chenulang.
“Semasa hendak keluar simpang di jalan besar, pemandu lori mahu keluar ke susur sebelah kiri. Tiba-tiba datang sebuah motosikal yang ditunggang mangsa dari sebelah kanan jalan lalu melanggar lori berkenaan.
“Bagaimanapun, pemandu lori yang berusia 61 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.
Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk dibedah siasat.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
*Berita asal di Sinar Harian
#penghantar makanan maut #motosikal langgar lori #Muhamad Zul Iman Zulkifli #Lori
;