Penghantar makanan depani risiko demi menjaga perut pelanggan
Fareez Azman
Mac 19, 2020 16:58 MYT
Mac 19, 2020 16:58 MYT
Selain peniaga, sudah tentu khidmat penghantara makanan ketika ini menjadi pilihan utama orang ramai untuk mendapatkan makanan tanpa perlu keluar rumah.
Namun sedar atau tidak, penghantar makanan turut berdepan situasi sama iaitu berisiko dijangkiti COVID-19?
Bagi Muhammad Sofi Zaidi, 26, selain mencari rezeki, perkhidmatan yang dilakukannya merupakan salah satu khidmat kepada rakyat.
"Sebagai penunggang Grabfood, ini khidmat kami kepada masyarakat, memang rakyat tidak boleh keluar jadi mereka boleh gunakan perkhidmatan kami ini dan boleh tambah pendapatan kami," katanya
Perkara sama dikongsi Abdul Razak Jalal, 43, yang bangga menjadi salah seorang daripada individu di barisan hadapan ketika Perintah Pergerakan Kawalan dikuatkuasa.
Pada hari kedua perintah itu dilaksanakan, Abdul Razak mengakui, jumlah tempahan yang diterima meningkat.
"Banyak restoran tutup, (jadi) kita terpaksa berhempas-pulas (menghantar pesanan). Saya bangga dapat berkhidmat kepada masyarakat kita sebagai frontliner untuk rakyat," katanya
Dalam kesibukan memenuhi tempahan orang ramai, penghantar makanan tidak terlepas berhadapan dengan cabaran dalam menunaikan tanggungjawab itu.
Seperti kata, Wan Mohd Azahir, 29, rasa takut dan bimbang sebetulnya cabaran utama dalam tugasnya, namun, perasaan itu diatasi dengan niatnya untuk mencari rezeki.
Untuk melawan kebimbangan berhadapan risiko wabak COVID-19 pula, Wan Mohd Azhar tidak mengabaikan saranan pihak berkuasa agar menitik berat aspek pencegahan.
"Ini punca pencarian rezeki saya, ada rasa perasaan takut tapi saya ikut pesanan kerajaan untuk sentiasa jaga diri pastikan tangan dibersihkan dengan sanitiser,pakai mask dan jaga jarak. Perasaan takut itu hilang bila nak mencari rezeki," kata Wan Mohd Azhar lagi.
Itu antara cerita wira yang kadang kala tidak dihiraukan oleh masyarakat, sebaliknya mereka ini adalah antara barisan hadapan yang memastikan rakyat tidak resah serta melangsungkan kehidupan seperti biasa.
#COVID-19
#FoodPanda
#Grabfood
#korban
#koronavirus
#makanan
#penghantar makanan
#penghantaran
#perintah kawalan pergerakan
#rakyat
#rider
#rumah