Penghantar makanan berdepan detik cemas 'disergah' harimau

Astro Awani
Mac 10, 2022 17:30 MYT
Menurut Mohd Shafiq Mamat, 27, kejadian berlaku selepas baru selesai menghantar pesanan makanan pelanggan di Taman Bersekutu kira-kira jam 8.30 malam, pada Rabu. - Foto Sinar Harian
KUALA TERENGGANU: Seorang penghantar makanan berdepan detik cemas selepas terserempak dengan seekor harimau belang ketika dalam perjalanan pulang ke kediamannya di Taman Permint, Dungun, Terengganu.
Menurut Mohd Shafiq Mamat, 27, kejadian berlaku selepas baru selesai menghantar pesanan makanan pelanggan di Taman Bersekutu kira-kira jam 8.30 malam, pada Rabu.
Mohd Shafiq berkata, haiwan liar yang dianggarkan setinggi satu meter itu muncul dari semak ketika dia melalui jalan pintas berhampiran Hutan Simpan Bukit Bauk.
“Saya pandang, sekilas pandang sahaja, saya rasa waktu itu motor saya perlahan, tak laju.
“Bila ternampak tu saya terus pecut sikit, jadi dia (harimau itu) di sebelah motor saya, saya pun terus pecut… saya tak pandang belakang dah.
“Tapi bila saya pandang tu, memang harimau belang lah, putih, oren, hitam. Kalau harimau akar, orang kata nampak hitam kan, bertompok hitam,” katanya ketika menceritakan pengalaman cemas itu.
Menurut Mohd Shafiq, ia adalah kejadian pertama sejak bekerja sebagai penghantar makanan dua tahun lalu dan bersyukur tidak menjadi mangsa haiwan liar itu.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong ketika dihubungi berkata pihaknya masih belum menerima laporan rasmi mengenainya.
Bagaimanapun pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut.
#pengantar makanan #disergah harimau #Harimau belang #rider #Mohd Shafiq Mamat #Taman Permint #Dungun #Hutan Simpan Bukit Bauk
;