Penghantar ikan dipenjara hina kematian polis di media sosial
Noraniza Kamsani
Oktober 26, 2018 14:28 MYT
Oktober 26, 2018 14:28 MYT
Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap penghantar ikan kerana memuat naik komen menghina kematian dua anggota polis dalam kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT), Selasa lalu.
Hakim Siti Aminah Ghazali menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Hannan Ibrahim, 27 tahun, yang berasal dari Kampung Parit Tengah, Pekan, Pahang, selepas dia mengaku salah terhadap pertuduhan tersebut.
Hukuman diarahkan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 23 Oktober lalu.
Tertuduh didakwa memuat naik komen berbaur penghinaan berhubung kematian dua anggota polis dengan menggunakan akaun Facebooknya dalam laman Komuniti Kuantan pada 5.30 petang 23 Oktober, lalu.
Perbuatan tertuduh yang didakwa dilakukan dengan menggunakan telefon bimbit miliknya dan dilakukan dengan tujuan menyakitkan hati sesetengah pihak.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a)(i) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding itu, Mohd Hannan yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah menjatuhkan hukuman penjara ke atasnya atas alasan dia hanya bekerja sebagai penghantar ikan patin dari Pekan ke Temerloh dengan pendapatan RM1,600 sebulan.
Timbalan Pendakwa Raya Fatinah Abu Bakar memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal ke atas tertuduh untuk dijadikan sebagai pengajaran kepada dirinya dan orang awam supaya lebih berhati-hati dalam tindakan mereka dalam laman sosial.
Pada Selasa lalu, dua anggota polis dari cawangan Gerakan IPK Kuantan, Sarjan Mejar Roslan Maon, 50 tahun, dan Konstabel Watson Edin, 23 tahun, maut selepas kereta peronda dinaiki terbabas dan melanggar penghadang jalan di kilometer 183.4 LPT, dekat Maran.
Mereka dalam operasi mengiringi kenderaan yang membawa kertas soalan Sijil Pelajaran Malaysia 2018 dalam perjalanan dari Bentong ke Kuantan semasa kejadian berlaku 3.20 petang.
#Facebook
#FB Komuniti Kuantan
#kematian
#Lebuhraya Pantai Timur
#Mahkamah Sesyen Kuantan
#Mohd Hannan Ibrahim
#penjara
#polis