Penghantar didenda RM3,000, ugut Pegawai Konsul British
Bernama
November 2, 2012 16:32 MYT
November 2, 2012 16:32 MYT
Seorang pekerja penghantar didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur Jumaat selepas mengaku bersalah mengugut seorang pegawai konsul Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Ogos lepas.
Majistret Suzarika Sahak memerintahkan Mohd Roslan Ahmad, 46, menjalani hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda itu.
Mohd Roslan didakwa melakukan ugutan jenayah dengan 'memberi ancaman serangan pengganas' ke atas Joanne Low, 31, dengan niat menyebabkannya ketakutan dan rasa gementar.
Dia didakwa melakukan ugutan jenayah tersebut menggunakan telefon bimbit dengan meninggalkan pesanan suara ke peti pesanan suara telefon talian tetap milik Pesuruhjaya Tinggi British, dengan menyembunyikan nama dan tempat tinggalnya daripada diketahui.
Mohd Roslan yang tidak diwakili peguam didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi British, 185 Jalan Ampang di sini pada 9.43 malam, 19 Ogos lepas.