Penghantar barang didakwa bunuh pemandu teksi

Nur Fazlizai Ali
Julai 24, 2024 21:45 MYT
Muhammad Hanif (kanan) ketika dibawa ke Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu semalam. - Foto Astro AWANI
KUALA TERENGGANU: Seorang penghantar barang dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini semalam atas pertuduhan membunuh seorang pemandu teksi tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Hanif Mohd Rosli, 30 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Mohd Latif Idris, 51 tahun.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 10 Ogos tahun lalu di dalam sebuah teksi di tepi jalan, di hadapan Klinik Kesihatan Seberang Takir, di sini, antara jam 10.09 dan 10.56 malam.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 2 September depan bagi sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Khairuddin Idris manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Shahir Mat Jusoh.
Penghantar barang didakwa bunuh pemandu teksi
Terdahulu media melaporkan seorang pemandu teksi ditemukan mati dalam keadaan berlumuran darah dalam keretanya berdekatan sebuah klinik kesihatan di Kampung Seberang Takir.
Mangsa ditemukan di tempat duduk belakang kereta tersebut dengan beberapa kesan luka di leher.
#pemandu teksi #penghantar barang #Seksyen 302 Kanun Keseksaan #bunuh