Penghadang angin tradisional menjadi pilihan nelayan di Kampung Jambu Bongkok
Wan Zuratikah Iffah Wan Zulkifli
Disember 24, 2021 04:13 MYT
Disember 24, 2021 04:13 MYT
MARANG: Seorang nelayan di Kampung Jambu Bongkok, Marang memilih untuk menggunakan penghadang angin tradisional yang diperbuat daripada pelepah atau daun kelapa bagi mengurangkan tiupan angin dari arah pantai.
Selain itu, ia juga berfungsi untuk melindungi kediaman daripada terjahan angin kencang ketika monsun timur laut.
Salleh Daud, 61, berkata penghadang angin itu dapat meminimunkan kerosakan dan mengurangkan percikan air laut masuk ke dalam rumah.
"Waktu dahulu, setiap rumah pasti ada satu, tapi sekarang selepas rumah batu dibina, semakin kurang orang menggunakan penghadang ini.
"Dulu semua rumah diperbuat daripada kayu jadi setiap rumah pasti akan ada," katanya.
Jelasnya lagi penghadang angin tradisional dilihat lebih berkesan berbanding jaring hitam yang digunakan pada masa kini.
Di samping itu, ia tidak memerlukan sebarang perbelanjaan manakala jaring pula memerlukan kos yang agak tinggi.
"Jaring yang digunakan kini boleh dibeli dan terus pasang manakala daun memerlukan masa sehari untuk membuatnya.
"Namun lebih baik menggunakan daun bagi menyekat kemasukan angin," katanya.
Menurut Salleh setiap kali musim bah, dia dan ibu mertuanya, Dijah Deraman, 80, akan menggantikan penghadang angin di rumah mereka dengan daun kelapa yang baharu bagi memastikan ia lebih kukuh.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan berlakunya luruan monsun atau 'monsoon surge' bermula 27 hingga 29 Disember depan.