Penggunaan 'vape' untuk rawat ketagihan rokok perlu dilihat secara meluas - Pakar

Hilmi Malik
Januari 27, 2023 16:41 MYT
Penggunaan rokok elektronik mampu rawat ketagihan merokok namun ia juga memerlukan pemantauan pakar perubatan.
KUALA LUMPUR : Sebahagian besar rakyat di negara ini masih lagi terperangkap dalam mencari jalan keluar daripada ketagihan merokok.
Ramai yang mendakwa, penggunaan rokok mampu memberikan ketenangan terutamanya bagi kelompok perokok tegar.
Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat Fakulti Perubatan UKM, Prof Dr Sharifa Ezzat Wan Puteh berkata, hakikatnya rokok yang mungkin sudah sebati dalam diri seseorang itu, sebaliknya, lebih banyak meninggalkan kesan memudaratkan.
Dalam pada itu, beliau juga menyedari kehadiran produk alternatif untuk menggantikan rokok menerusi penggunaan rokok elektronik atau ‘vape’.
Kajian mendapati, kaedah itu jauh lebih baik jika dibandingkan dengan penggunaan rokok tembakau yang mempunyai kandungan kimia yang tinggi.
Namun, penggunaan rokok elektronik itu perlu difahami dengan konteks yang sangat meluas.
“Kalau kita bandingkan vape dengan rokok tembakau yang ada pelbagai bahan kimia, vape adalah jauh lebih selamat dan kesan sampingan juga kita lihat lebih rendah.
“Pemantauan vape di negara ini masih kurang jika dibandingkan dengan negara luar kerana ia memerlukan pemantauan pakar perubatan atau orang yang bertauliah dari segi pengambilan nikotin,” katanya kepada Astro AWANI.
Dalam pada itu, Dr Sharifa berpendapat, penguatkuasaan berhubung perkara itu juga masih dilihat lemah yang mengakibatkan isi kandungan di dalam cecair rokok eletronik sukar dipantau.
Keadaan itu juga mampu mendatangkan risiko campuran di dalam cecair rokok elektronik berdasarkan sukatan yang dibenarkan.
“Ini termasuk kandungan nikotin kerana ada pihak yang menyatakan produk mereka tidak mengandungi nikotin namun sebaliknya berlaku.
“Di negara luar penggunaan vape dijadikan sebagai terapi untuk berhenti rokok atau kaedah tambahan untuk lari dari ketagihan tersebut maka pemantauan yang lebih ketat itu memang perlu,” kata beliau lagi.
Kaedah itu juga, katanya, perlu dilihat dari sudut yang positif iaitu usaha untuk mengeluarkan seseorang individu itu daripada masalah ketagihan.
Sekiranya seseorang itu mampu beralih kepada penggunaan rokok elektronik maka secara tidak langsung langkah itu juga mampu mengurangkan ketagihan seseorang individu itu secara berperingkat.
Tonton video penuh:
#vape #rokok #ketagihan rokok #rawatan alternatif
;