Penggunaan tenaga secara cekap kurangkan pembebasan gas rumah hijau - SEDA

Irfan Faruqi
Mac 5, 2024 18:00 MYT
Hamzah berkata pengurusan tenaga yang mampan wajar berpaksikan kepada piramid pengurusan tenaga. - foto fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Amalan penggunaan tenaga dengan cekap adalah paling utama untuk memastikan kelestarian alam.
Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia, Datuk Hamzah Husin berkata, pengurusan tenaga yang mampan wajar berpaksikan kepada piramid pengurusan tenaga.
“Kenapa kita perlu pasang panel solar atau pusat jana kuasa tenaga boleh baharu, kalau kita boleh kurangkan penggunaan tenaga elektrik. Sekiranya kurang penggunaan elektrik, maka akan lebih kurang gas rumah hijau.
“Hanya jika dalam keadaan terpaksa menggunakan tenaga elektrik yang tinggi, barulah kita beralih kepada tahap pengurusan tenaga kedua, iaitu gunakan perkakas elektrik jimat tenaga.
“Seterusnya, barulah kita beralih ke tahap berikutnya iaitu menggunakan tenaga boleh baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.
Lanjutan itu, Hamzah berkata SEDA melancarkan kempen Gaya Hidup Lestari Bermula Dari Rumah bagi menggalakkan penggunaan tenaga secara lebih berhemah.
Beliau berharap agar setiap individu sedar akan tanggungjawab dan peranan mereka dalam merealisasikan Malaysia sebagai negara hijau di samping meningkatkan kesedaran mereka mengenai industri tenaga lestari negara.
“Kempen Gaya Hidup Lestari Bermula Dari Rumah ini berasaskan kepada piramid pengurusan tenaga yang diinspirasikan oleh Maslow’s Hierarchy of needs.
“Dalam piramid pengurusan tenaga, bahagian paling bawah ialah kecekapan tenaga iaitu perkara yang tidak memerlukan kos tambahan tetapi boleh dilaksanakan untuk kurangkan penggunaan elektrik,” ujarnya.
Jelas Hamzah lagi, pembangunan industri tenaga lestari negara tidak akan lengkap tanpa penglibatan orang awam.
Menurutnya, salah satu cabaran yang dihadapi dalam menggalakkan penyertaan umum dalam isu tenaga lestari adalah kurangnya kesedaran dan pemahaman mengenai amalan yang boleh dipraktikkan oleh setiap isi rumah.
Agenda AWANI: Gaya Hidup Lestari Bermula Dari Rumah
#SEDA #gas rumah hijau #peralihan tenaga #elektrik #jimat tenaga
;