Penggunaan telaga tiub di Kelantan tidak jejas struktur tanah - Pakar

Bernama
Jun 6, 2023 21:57 MYT
Penggunaan sumber air bawah tanah di negara ini tidak boleh dibandingkan dengan negara-negara yang berdepan masalah mendapan tanah ekoran penggunaan air dalam kapasiti yang banyak. - Gambar Bernama
KOTA BHARU: Penggunaan telaga tiub yang menjadi pilihan utama rakyat negeri Kelantan sejak berdepan masalah bekalan air bersih beberapa tahun lepas tidak menjejaskan struktur tanah, kata Pengarah Kanan Jabatan Geosains Fakulti Sains Bumi Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Prof Dr Hamzah Hussin.
Katanya kebanyakan telaga tiub dipasang di kawasan Kelantan utara iaitu sekitar Kota Bharu, Bachok, Tumpat dan Pasir Mas, manakala penduduk di lokasi pedalaman Kelantan Selatan seperti Gua Musang dan Kuala Krai lebih cenderung menggunakan air tandak.
"Itu pun peratus penduduk yang menggunakan telaga tiub agak kecil berbanding keseluruhan kira-kira dua juta penduduk Kelantan ketika ini.
"Pembinaan telaga tiub di kebanyakan kediaman hanya menggunakan paip bersaiz kecil dan tidak mengganggu struktur bumi atau mendapan dan setakat ini tiada sebarang kesan negatif yang ditemui daripada langkah alternatif itu," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.
Beliau berkata penggunaan sumber air bawah tanah di negara ini tidak boleh dibandingkan dengan negara-negara yang berdepan masalah mendapan tanah ekoran penggunaan air dalam kapasiti yang banyak seperti Jakarta, Indonesia atau Bangkok, Thailand.
"Kira-kira 15 juta penduduk menetap di bandar Jakarta sahaja (hampir separuh daripada penduduk Malaysia) yang menyebabkan penggunaan air bawah tanah yang banyak sehingga memberi kesan kepada struktur bumi kawasan tersebut," katanya.
Hamzah berkata jumlah sedutan air bawah tanah di Malaysia adalah sangat kecil berbanding sumber air bawah tanah yang sangat kaya di negara ini.Katanya, Malaysia hanya menggunakan kira-kira tiga peratus sahaja sumber air bawah tanah berbanding negara lain termasuk Denmark yang menggunakan 100 peratus air bawah tanah, Austria 98 peratus, Thailand 80 peratus dan China 78 peratus.
"Walaupun berlaku cuaca panas dan kemarau, Malaysia menerima taburan hujan yang banyak sepanjang tahun terutama di kawasan Pantai Timur.
"Keadaan ini secara tidak langsung membekalkan sumber air bawah tanah yang banyak di negara ini sekali gus menggantikan semula sumber air yang telah digunakan," katanya.
Malah katanya kapasiti air bawah tanah yang tinggi di Malaysia berupaya menjadi sumber alternatif bekalan air negara pada masa hadapan.
-- BERNAMA
#bekalan air #cuaca panas #mendapan tanah #telaga tiub
;