Penggunaan skrin terlalu lama faktor penyumbang kanak-kanak tidak aktif - Pakar
Irfan Faruqi
Julai 18, 2024 22:08 MYT
Julai 18, 2024 22:08 MYT
KUALA LUMPUR: 81 peratus kanak-kanak tidak menjalani gaya hidup aktif.
Ringkasan AI
- 81% kanak-kanak tidak aktif, dengan penggunaan media sosial dan skrin yang lama sebagai faktor utama.
- Kesan gaya hidup tidak aktif ini termasuk penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, dan kanser.
- 31% orang dewasa di seluruh dunia juga tidak aktif, dan angka ini dijangka meningkat menjadi 35% menjelang tahun 2030. Ini menambah kebimbangan terhadap masalah kesihatan mental di kalangan generasi muda yang menghalang aktiviti fizikal.
Menurut pakar perubatan keluarga, Dr. Suhazeli Abdullah, antara faktor yang menyumbang kepada kadar yang tinggi ini adalah penggunaan skrin yang lama sebagai rutin harian.
“81 peratus kanak-kanak tidak aktif. Antara faktor yang saya lihat adalah faktor media sosial.
“Apabila seseorang tidak menjalani gaya hidup aktif, akan berlaku kesan-kesan pada masa-masa tertentu sehingga memerlukan doktor untuk mengatasinya; kencing manis, darah tinggi dan kanser,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Suhazeli turut berkongsi dapatan tinjauan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang melaporkan 31 peratus orang dewasa seluruh dunia tidak menjalani gaya hidup aktif.
Angka tersebut dijangka meningkat kepada 35 peratus menjelang tahun 2030.
Di samping itu beliau turut menzahirkan kebimbangan mengenai tinjauan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan generasi muda yang juga mengalami gangguan masalah mental, seterusnya menghalang daripada bergiat aktif.
“Lebih membimbangkan lagi, daripada Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS), ada beberapa fakta penting. Antaranya, jumlah kes kemurungan meningkat dua kali ganda berbanding pada 2019, yang berusia bawah 30 tahun.
“Ini bermaksud mereka ini merupakan golongan aktif dan produktif yang sepatutnya membantu meningkatkan produktiviti dalam negara. Ini fakta yang perlu membuatkan kita rasa bimbang,” ujarnya.