Penggunaan sistem pagar automatik kurangkan kesesakan di KLIA - Hamzah
Bernama
November 17, 2022 14:48 MYT
November 17, 2022 14:48 MYT
TAIPING: Penggunaan sistem pagar automatik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang diperluas kepada warga asing memegang pas lawatan jangka panjang merupakan usaha kerajaan dalam mengurangkan kesesakan sewaktu ketibaan pelancong di pintu masuk negara.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata kesesakan di KLIA dapat dibendung dan urusan kemasukan lebih cepat apabila kemudahan tersebut diperluas kepada warga asing yang berkuat kuasa Selasa lepas.
"Apa yang kita rancang ini boleh memberi manfaat terutama kepada pelancong yang datang ke Malaysia.
"Kesesakan dapat dibendung dengan adanya pagar automatik, ia mempercepat dan mempermudah banyak proses. Alhamdulillah ia dapat diterima ramai pelancong dan memberikan respons begitu baik," katanya kepada Bernama selepas menyantuni masyarakat di Kampung Changkat Perah di sini hari ini.
Hamzah turut membayangkan kemudahan itu dapat diperluas ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, Bangunan Sultan Iskandar di Johor.
"Jika dilihat, keseluruhan mereka yang gunakan laluan di sempadan seperti Singapura setiap hari, begitu ramai yang keluar masuk," katanya.
Selasa lepas, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dipetik sebagai berkata pemegang pas lawatan jangka panjang yang dibenarkan menggunakan kemudahan pagar automatik itu merangkumi mereka yang bekerja dan belajar di Malaysia, ekspatriat dan peserta program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).
-- BERNAMA