Penggunaan sawit untuk biodiesel lebih lestari - MPOCC

Najib Aroff
Disember 23, 2018 18:20 MYT
Pada Rabu lepas Dewan Rakyat Perancis meluluskan cadangan menghentikan insentif kepada penggunaan sawit sebagai bahan campuran biodiesel. - Foto Bernama
Penggunaan minyak sawit sebagai sebahagian campuran biodiesel adalah lestari berbanding menggunakan komponen lain seperti petroleum, kata Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) Dr Sanath Kumanan.
“Penggunaan sawit mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan memberi manfaat lebih besar berbanding penggunaan sumber lain seperti petroleum.
“Kerajaan Malaysia juga komited untuk mengekalkan 50 peratus rizab hutan simpan daripada diterokai untuk penanaman sawit,” katanya sambil menambah pelabagai usaha memampankan industri sawit sedang dijalankan negara.
Negara Eropah sebelum ini mendakwa penanaman sawit adalah tidak mampan dan melibatkan pemusnahan hutan.
Tambahnya usaha memampankan industri sawit turut dilakukan melalui pengenalan sijil Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) kepada semua pekebun menjelang 2019.
“Ia langkah penting sebagai satu bentuk piawaian meningkatkan profil industri sawit negara dan bagi memastikan setiap titisan minyak sawit Malaysia diperakui.
“Justeru negara luar perlu menerima secara terbuka langkah kerajaan ini,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Tambahnya, tindakan negara Eropah terutama Perancis yang menolak penggunaan sawit dalam biodiesel adalah bertentangan dengan amalan perdagangan bebas dan bersifat membuli.
“Kita faham banyak negara mahu melindungi industri mereka, namun jangan menindas negara pengeluar sawit. Sifat perlindungan dagangan ini tidak bagus untuk hubungan bilateral,” katanya.
Tambahnya tindakan Perancis juga hanya akan menjejaskan taraf kehidupan pekebun kecil dari negara pengeluar yang bergantung besar kepada sawit.
Pada Rabu lepas Dewan Rakyat Perancis meluluskan cadangan menghentikan insentif kepada penggunaan sawit sebagai bahan campuran biodiesel.
Pada Sabtu Menteri Industri Utama Teresa Kok mengutuk tindakan tersebut dan menyifatkan keputusan Perancis adalah tidak berdasarkan informasi tepat.
Pada Ahad pula, Teresa berkata Malaysia akan berunding dengan negara pengeluar sawit lain untuk melihat langkah susulan terhadap tindakan Perancis itu.
#Dr Sanath Kumanan #eropah #FELCRA #Felda #France Palm Oil #harga sawit #hubungan bilateral #minyak sawit #MPOCC #MSPO #peneroka #Perancis #perlindungan dagangan #Tandan Sawit #Teresa Kok
;