Penggunaan paip AC punca NRW tinggi - PETRA

Bernama
Julai 10, 2024 13:03 MYT
kmal Nasrullah berkata kadar NRW yang tinggi menyebabkan kadar kehilangan air yang ditanggung sebanyak 4,882 juta liter sehari. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kadar air tidak terhasil (NRW) yang tinggi secara dasarnya disebabkan oleh paip terutamanya jenis simen asbestos (AC) yang dipasang 30 hingga 50 tahun lepas telah menjangkaui jangka hayat.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kadar NRW yang tinggi menyebabkan kadar kehilangan air yang ditanggung sebanyak 4,882 juta liter sehari berdasarkan rekod pada 2023, dengan kerugian RM2 bilion setahun mengikut kadar purata tarif yang ada.
"Sebagai gambaran yang berlaku ketika ini, pengamatan kita mendapati terdapat 39,752 kilometer atau 28.7 peratus daripada keseluruhan jumlah paip masih menggunakan AC," katanya ketika menggulung perbahasan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata kerja-kerja penyelenggaraan dan pengawalan NRW ini terletak pada bahu syarikat operator air.
"Bagaimanapun, di peringkat Persekutuan kita tidak boleh lepas tangan sebab itu kita ada pakej dipanggil pendekatan satu dan dua bagi membantu negeri mengurangkan kadar NRW.
"Negeri yang memiliki NRW lebih 40 peratus mendapat ruang untuk mengguna pakai geran melalui pendekatan satu iaitu Kedah, Perlis, Pahang dan Kelantan serta Sabah, Sarawak dan Labuan, manakala negeri lain perlu mengambil geran sepadanan iaitu pendekatan kedua dan perlu membelanjakan dahulu," katanya.
Akmal Nasrullah berkata kementerian ketika ini sedang meneliti mengenai pakej yang lebih menyeluruh untuk membantu negeri mengurangkan kadar NRW tetapi selagi paip AC yang digunakan tidak diganti kehilangan NRW akan kekal tinggi.
Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) siri 2/24 yang dikeluarkan 4 Julai lepas pengurangan peratusan NRW tidak dicapai kerana kadar NRW masih lagi tinggi.
Berdasarkan laporan itu, Kecekapan Air dan Pelan Kelestarian Alam Sekitar menetapkan sasaran peratusan NRW seluruh negara ialah 35 peratus pada 2020 dan seterusnya berkurang kepada 32 peratus tahun lepas, namun semakan Audit mendapati pencapaian NRW Kebangsaan yang dicatatkan bagi 2022 ialah 34.4 peratus melibatkan Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
-- BERNAMA
#Dewan Rakyat #LKAN #kadar NRW #kadar purata tarif