Penggunaan lampu solar untuk SJR masih dalam peringkat ujian
Astro Awani
Mac 18, 2021 06:54 MYT
Mac 18, 2021 06:54 MYT
JOHOR BAHRU: Polis Diraja Malaysia (PDRM kini di peringkat ujian penggunaan lampu solar bagi sekatan jalan raya (SJR).
Lampu solar yang bersifat praktikal dan mudah dibawa itu, mempunyai keberkesanan 50 peratus setakat ini.
Pengarah Logistik dan Teknologi, Bukit Aman, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, lampu solar ini mempunyai kemampuan yang boleh membekalkan cahaya dalam SJR selama 12 jam.
Katanya ia kini dalam tempoh percubaan yang mengambil masa dua minggu sebelum diputuskan untuk digunakan atau tidak.
“Lampu solar itu masih dalam peringkat ujian buat masa ini. Setakat ini keberkesanannya didapati 50 peratus namun kami ingin menguji keberkesanan untuk jangka panjang.
“Lampu ini memang diperlukan kerana tiada bekalan pada waktu malam dan buat masa ini kami menggunakan generator.
“Selain itu lampu solar ciptaan lipat ini mudah dibawa di dalam kereta jadi ia lebih praktikal. Ia juga dapat mengelak berlaku kemalangan,” katanya dalam sidang media selepas majlis makan malam lawatan Koperasi PDRM dan Kumpulan KOP Mantap Berhad ke Zon Selatan di Hotel Mutiara, Johor Bahru pada Rabu.
Hadir sama Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.
Lampu solar ini dibekalkan Koperasi PDRM dan KOP Mantap dan merupakan buatan luar negara, namun pemasangan dilakukan syarikat tempatan.