Penggunaan lampu jalan solar LED kurangkan pelepasan karbon, kes kecurian kabel - Arthur

Firdaus Azil
Disember 13, 2021 05:17 MYT
Inisiatif lain seperti penggunaan solar flashing amber light,juga telah diperluas dalam skop penyenggaraan berkala bukan pavemen, kata. Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup
KUALA LUMPUR: Penggunaan lampu jalan solar LED didapati mengurangkan pelepasan karbon yang boleh mencemarkan alam sekitar, tiada bil elektrik bulanan dan mengurangkan kes vandalisme ke atas aset kerajaan, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah memulakan pemasangan untuk jalan selain jalan persekutuan iaitu di jalan luar bandar, jalan kampung di penempatan orang asal dan jalan yang jauh atau tiada sumber bekalan elektrik.
Selain itu, beliau berkata, JKR juga telah melaksanakan pemasangan lampu jalan solar LED di kawasan perbandaran seperti di Selangor yang mempunyai kejadian kecurian kabel yang tinggi.
“Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui JKR telah melaksanakan inisiatif penggunaan tenaga hijau (solar) bagi lampu-lampu jalan LED dengan pelaksanaan projek perintis menggunakan lampu jalan solar LED sejak tahun 2018 untuk projek jambatan di jalan persekutuan.
“Manakala, bagi jalan-jalan persekutuan yang lain, penggunaan lampu cekap tenaga LED telah dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif hijau,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Mohd Anuar Mohd Tahir (PH-Amanah) yang mahu perincian tentang inisiatif penggunaan tenaga hijau (solar) bagi lampu-lampu jalan (LED) dan papan-papan tanda jalan raya, selain dari penggunaannya di bangunanbangunan milik dan kelolaan KKR.
Mengulas lanjut, Arthur berkata, selain jalan raya, inisiatif sama turut dipraktiskan untuk papan tanda jalan raya di lokasi yang bersesuaian.
Inisiatif lain seperti penggunaan solar flashing amber light, katanya lagi, juga telah diperluas dalam skop penyenggaraan berkala bukan pavemen.
Bagaimanapun, Arthur menjelaskan, pemasangan lampu itu bergantung kepada keperluan, terutama bagi tujuan memberi amaran awal kepada pemandu untuk memperlahankan kenderaan.
“KKR juga melaksanakan inisiatif penggunaan tenaga hijau (solar) dalam bangunan melalui pemasangan solar panel. Pada masa ini, pemasangan solar panel di bangunan Kompleks Pejabat KKR (Blok A), dan Kompleks Ibu Pejabat JKR (Blok A dan C) telah dijalankan melalui inisiatif Solar Energy Purchasing (SEP) yang telah dilancarkan pada 16 Mac 2021.
“Melalui inisiatif Solar Energy Purchasing (SEP) ini, pemasangan solar panel akan diperluaskan di bangunan Kementerian KKR dan JKR Malaysia yang terpilih seluruh Malaysia bermula April 2021,” ujart beliau lagi.
#Dewan Rakyat #Arthur Joseph Kurup #jalan solar led #tenaga hijau