Penggunaan katil ICU COVID-19 cecah 125 peratus di Lembah Klang

Sinar Harian
Mei 19, 2021 08:50 MYT
Dr Noor Hisham menggesa rakyat Malaysia untuk terus patuh berada di rumah jika tiada urusan penting di luar. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kadar penggunaan katil rawatan kritikal (ICU) pesakit COVID-19 di Lembah Klang kini mencapai 125 peratus, setakat Selasa.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kadar keseluruhan penggunaan katil ICU pesakit COVID-19 di seluruh negara pula mencecah 74 peratus.
Manakala Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah, Sarawak, Negeri Sembilan mencatatkan penggunaan katil Covid-19 ICU melebihi 80 peratus.
"Hospital COVID-19 telah meningkatkan jumlah katil ICU yang diperuntukkan untuk pesakit COVID-19 dengan mengubah fungsi (repurpose) wad biasa. Bagaimanapun, ini juga mengurangkan peluang pesakit bukan COVID-19 untuk mendapatkan rawatan kritikal yang diperlukan.
"Peningkatan kes-kes secara mendadak kebelakangan ini telah memberi tekanan hebat kepada sistem perkhidmatan kesihatan negara dan adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19," katanya dalam sau hantaran di Facebook beliau pada Rabu.
Sumber Facebook DGHisham
Justeru, Dr Noor Hisham menggesa rakyat Malaysia untuk terus patuh berada di rumah jika tiada urusan penting di luar.
"Rakyat adalah barisan hadapan yang amat penting pada ketika ini dan diharap untuk terus patuh duduk di rumah sekiranya tiada urusan penting di luar.
"Kita tiada pilihan lagi, kita mesti jaga kita!," katanya.
Pada Selasa, Malaysia merekodkan sebanyak 4,865 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini meningkat kepada 479,421 kes.
BACA: COVID-19: 4,865 kes baharu, Malaysia rekod kematian tertinggi 47 kes
Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
#COVID-19 #ICU #penggunaan katil #Lembah Klang #Dr Noor Hisham Abdullah #pesakit
;