Penggunaan katil di ICU, PKRC Kelantan lebih 80 peratus

Muhafandi Muhamad
Mei 21, 2021 04:39 MYT
Setakat ini terdapat 10 PKRC yang dibuka termasuk terbaharu dua PKRC di daerah Tanah Merah dan Pasir Mas. - Astro AWANI
KOTA BHARU: Penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) dan juga di pusat kuarantin dan rawatan COVID-19 berisiko rendah (PKRC) di Kelantan masih berada pada tahap kritikal.
Menurut Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin, keadaan di kedua-kedua fasiliti berkenaan melebihi 80 peratus.
"Setakat ini seperti juga di peringkat nasional, penggunaan katil biasa, katil ICU dan PKRC masih lagi kritikal.
"Sebagai contoh di hospital melebihi 70 peratus, ada yang lebih 80 peratus apabila kadar kes 300 hingga 400 sehari," katanya.
Dr Zaini bagaimanapun menjelaskan sekiranya kes harian meningkat kepada 500 sehari, PKRC yang baharu terpaksa dibuka.
Setakat ini terdapat 10 PKRC yang dibuka termasuk terbaharu dua PKRC di daerah Tanah Merah dan Pasir Mas.
Pembukaan PKRC antara lain turut bertujuan mengurangkan mereka yang positif COVID-19 menjalani kuarantin di rumah.
#COVID-19 #wad #ICU #pusat kuarantin #Kelantan #PKRC