Penggunaan kamera badan pantau aktiviti, keselamatan petugas KKM - Dr Zaliha

Madiha Abdullah
Disember 12, 2022 13:25 MYT
Dr Zaliha memakaikan kamera badan kepada penguatkuasa Kementerian Kesihatan Malaysia. - Astro AWANI/Shahir Omar
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) telah memperkenalkan penggunaan teknologi kamera badan dalam kalangan pegawai penguat kuasanya.
Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata penggunaan kamera itu akan memudahkan pemantauan aktiviti penguatkuasaan yang dilakukan oleh kakitangan KKM.
“Saya ingin mengucapkan syabas kepada Kementerian Kesihatan, khususnya di atas Program Kesihatan Awam dan Program Farmasi atas inisiatif penggunaan kamera badan dalam menjalankan tugas harian.
"Penggunaan kamera bukan sahaja memastikan ketelusan malah dapat menjaga kebajikan dan keselamatan semasa melaksanakan tugas mereka.
"Ia juga dapat memelihara integriti dan meningkatkan imej KKM," katanya semasa berucap pada perhimpunan bulanan KKM, pada Isnin.
Turut diadakan adalah sesi simbolik Pemakaian Kamera Badan kepada Penguatkuasa KKM, disaksikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Kementerian Kesihatan menjadi kementerian kedua yang memperkenalkan kamera badan sebagai alat bantuan kepada pegawai penguat kuasa, selepas Polis Diraja Malaysia.
#Zaliha Mustafa #Kementerian Kesihatan #KKM #kamera badan
;