Penggunaan kalimah Allah: Kerajaan PN tegas tidak campuri urusan mahkamah
Fauzi Suhaimi
Mac 11, 2021 12:10 MYT
Mac 11, 2021 12:10 MYT
KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu membenarkan penganut Kristian seluruh negara menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan pendidikan agama itu jelas menunjukkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) terus tegas tidak akan mencampuri urusan mahkamah.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, perkara itu merupakan prinsip penting dalam negara dan sikap PN itu mesti diiktiraf dan dipuji.
Menurut beliau, perundangan perlu mengambil kira suasana dan adat setempat (uruf).
Sehubungan itu, jelas Wan Saiful, dalam hal yang menyentuh sensitiviti umat Islam sebegini, ada keperluan untuk ditangani dengan cermat dan teliti.
"Saya mendengar dan membaca komen-komen berkaitan keputusan mahkamah dalam isu kalimah Allah.
"Ini satu isu yang menyentuh sensitiviti umat Islam dalam negara kita. Ia bukan isu baharu, malahan telah lama berlegar," katanya di sini, pada Khamis.
Hakim Nor Bee Ariffin memutuskan perkara itu selepas membenarkan perisytiharan yang dibuat oleh seorang wanita Melanau dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill bahawa hak Perlembagaannya untuk mengamalkan agamanya dihalang dengan sekatan atau larangan pengimportan bahan pendidikan.
Selain perkataan Allah, tiga lagi perkataan lain yang dibenarkan ialah Baitullah, Kaabah dan solat.
Dalam pada itu, Wan Saiful juga berharap agar kerajaan membawa isu tersebut ke peringkat Mahkamah Rayuan.
"Saya telah menghubungi beberapa rakan dalam Kabinet untuk menyuarakan pandangan saya dan saya harap kita akan dapat penyelesaian terbaik," ujarnya.
Kalimah Allah | Penganut Kristian boleh guna untuk tujuan mendidik
BACA: Penganut Kristian boleh guna kalimah 'Allah'
#Kalimah Allah
#Wan Saiful Wan Jan
#Mahkamah Rayuan
#mahkamah
#Bersatu
#Perikatan Nasional
#Kristian
#Allah