Penggunaan jet adalah hak Najib sebagai PM - Shahidan Kassim

Haider Yutim
Mac 23, 2015 19:39 MYT
Kata Shahidan, kos perbelanjaan terhadap jet tersebut juga adalah ke atas harta kerajaan dan bukannya harta individu.. - Foto Astro AWANI/Haider Yutim
Apa pun penggunaan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak termasuk lah jet ‘peribadi’, merupakan hak beliau sebagai Perdana Menteri, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.
Katanya, kos perbelanjaan terhadap jet tersebut juga adalah ke atas harta kerajaan dan bukannya harta individu.
Shahidan mengulas tentang dakwaan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli sebelum ini yang mempersoal tindakan kerajaan membelanjakan RM465.4 juta bagi pembelian jet peribadi baharu.
Bagaimanapun katanya dakwaan Rafizi itu tidak tepat kerana jumlahnya bukanlah sedemikian serta ia bukanlah jet peribadi tetapi adalah jet rasmi kerajaan.
“Tetapi bagi saya apa yang dibelanjakan ini bukan untuk Perdana Menteri, bukan untuk Timbalan Perdana Menteri, bukan untuk Agong… tetapi apa pun ini ialah harta kerajaan,” katanya ketika ditemui di Parlimen pada Isnin.
Menurut beliau, penggunaan perkataan 'peribadi' oleh pihak pembangkang adalah bertujuan untuk memburukkan kerajaan.
Kata Shahidan, seperti Perdana Menteri, mereka yang berjawatan lain juga mempunyai hak masing-masing.
“Hak sebagai ketua pembangkang ada haknya, ketua menteri Pulau Pinang ada hak dia… jadi kalau hari-hari hendak tanya soalan pasal urusan rasmi, itu kita ada masalah sikit lah,” tegasnya.
Beliau menyangkal penggunaan perkataan ‘jet peribadi’ sambil mengatakan ia adalah bukan hanya untuk kegunaan Perdana Menteri sahaja kerana mantan-mantan Perdana Menteri sebelum ini juga pernah menggunakannya.
“Semua pembelian adalah untuk negara, bukan untuk peribadi,” tambah Shahidan.
Selain pembelian ‘jet baharu’ tersebut, Rafizi Rafizi turut mendakwa bahawa jet itu telah melalui proses penaiktarafan kabin bernilai RM28 juta yang disifatkannya mewah seperti ‘hotel lima bintang’.
Walau bagaimanapun Shahidan enggan mengulas tentang dakwaan penaiktaraf kabin bernilai RM28 juta itu.
Rafizi dalam sidang media di Parlimen pada Isnin mengkritik perbelanjaan yang disifatkannya boleh digunakan untuk tujuan lain.
"Apa keperluan membayar tambahan RM28 juta khusus untuk menaik taraf kabin apabila jumlah itu akhirnya akan ditanggung rakyat Malaysia?” soal beliau sambil menunjukkan gambar kabin tersebut yang diambil dari laman web, Comlux Aviation Group.
Syarikat Comlux Aviation Group itu merupakan pemilik ACJ320 sebelum ianya dibeli kerajaan.
#acj319 #baharu #jet peribadi #Najib Tun Razak #Perdana Menteri #Rafizi Ramli #Shahidan Kassim
;