Penggunaan elektrik meningkat ketika fenomena El-Nino - TNB
Astro Awani
April 21, 2016 07:51 MYT
April 21, 2016 07:51 MYT
Cuaca panas terik dan kering berpanjangan telah mengakibatkan peningkatan penggunaan elektrik di negara ini.
Tenaga Nasional Berhad dalam satu kenyataan berkata permintaan tertinggi elektrik di Semenanjung Malaysia mencatatkan bacaan pada 17,788 MW pada 20 April, iaitu peningkatan sebanyak 37.82 peratus berbanding pada 1 Januari di mana bacaannya mencatat 12,906 MW.
“Keadaan panas pada siang hari yang meninggalkan kesan bahang sehingga ke awal pagi mempengaruhi tabiat penggunaan peralatan elektrik khususnya pendingin hawa, yang secara relatifnya menggunakan lebih banyak elektrik berbanding peralatan lain.
“Secara amnya, pengguna pendingin hawa lebih cenderung menurunkan suhu pada tahap lebih rendah, meningkatkan kelajuan kipas pendingin hawa dan menggunakan pendingin hawa untuk tempoh yang lebih lama,” kata TNB dalam kenyataan mereka.
Tambahnya, kesemua faktor ini menyumbang kepada peningkatan penggunaan elektrik secara mendadak, sekali gus memberi kesan ke atas bil elektrik pengguna.
“Satu kajian kes di Selangor menunjukkan penggunaan tiga unit pendingin hawa oleh seorang pengguna meningkat daripada lima jam sehari pada Disember 2015 kepada lapan jam sehari pada bulan ini.
“Penggunaan elektriknya meningkat 40 peratus daripada 428kwh kepada 598kwh. Kenaikan ini menyebabkan bilnya meningkat daripada RM125.52 kepada RM231.69,” tambahnya.
Akaun Facebook TNB Careline beberapa hari ini menjadi mangsa rasa tidak puas hati kalangan pengguna akibat bil elektrik yang didakwa melambung tinggi.
Lebih menaikkan kemarahan pengguna adalah apabila TNB memberikan alasan musim cuaca panas atau El Nino yang melanda negara sebagai punca kenaikan tersebut.