Penggunaan CanSino dan Johnson & Johnson bantu percepatkan imuniti kelompok

Hilmi Malik
Jun 15, 2021 17:59 MYT
Pemberian hanya satu dos suntikan dapat mempercepatkan pemberian vaksin dengan lebih luas sekaligus mencapai imuniti kelompok yang lebih awal. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Penggunaan dua jenis vaksin buatan CanSino dan Johnson & Johnson (J&J) dilihat mampu mempercepatkan sasaran pemberian vaksin terhadap seluruh masyarakat.
Dua jenis vaksin tersebut yang masing-masing hanya memerlukan satu dos suntikan juga membantu sebahagian besar masyarakat untuk melengkapkan program penerimaan vaksin dengan lebih awal menurut Pakar Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman.
“Dengan kemudahan ini, vaksin hanya diberikan sekali sahaja dan orang ramai serta petugas kesihatan tidak perlu hadir ke tempat sama untuk menerima vaksin seterusnya.
“Langkah ini secara tidak langsung dapat meluaskan lagi program pemberian vaksin dan dapat melengkapkan pengambilan vaksin sekaligus mencapai imuniti kelompok dengan kadar segera,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Selasa.
BACA: Vaksin CanSino, Johnson & Johnson diluluskan untuk pendaftaran bersyarat
Mengulas mengenai vaksin berkenaan yang hanya memerlukan satu dos suntikan, Dr Malina berkata, perkara tersebut telah menerusi ujian klinikal dan mencukupi bagi menampung tahap antibodi seseorang individu.
“Kajian klinikal mendapati satu dos sudah mencukupi untuk berikan perlindungan kepada seseorang dari dijangkiti COVID-19 berdasarkan mekanisme tubuh badan.
“Ini berbeza berbanding vaksin sebelum ini yang sememangnya memerlukan dua dos suntikan bagi mencapai tahap keberkesanan daripada menerima jangkitan,” katanya lagi.
Dua jenis vaksin COVID-19 yang hanya memerlukan satu suntikan dos, masing-masing buatan CanSino dan Johnson & Johnson (J&J) diberi kelulusan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan kecemasan.
Menurut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kelulusan tersebut dicapai melalui Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali-359 hari ini.
#Dr Noor Hisham Abdullah #COVID-19 #jangkitan #suntikan #vaksin #CanSino #Johnson & Johnson #imuniti kelompok #Dr Malina Osman
;