Pengguna terkandas, tanah runtuh di laluan Pan Borneo, Jalan Sibu-Bintulu
Rohana Wahed
Disember 10, 2018 23:39 MYT
Disember 10, 2018 23:39 MYT
Puluhan pengguna di Kilometer 48 Jalan Sibu-Bintulu terkandas apabila berlaku tanah runtuh pada petang, Isnin.
Difahamkan jalan tersebut merupakan salah satu jajaran Lebuh Raya Pan Borneo yang sedang dalam pembinaan.
Jalan menuju ke Tatau itu terputus dan membahayakan keselamatan.
Bagaimanapun pihak kontraktor dilaporkan sedang membina laluan sementara bagi memudahkan kenderaan kecil melalui kawasan tersebut.
Pengguna jalan raya turut dinasihatkan untuk menggunakan jalan alternatif menerusi Kuala Balingian, Kuala Tatau dan Jepak.
Bernama melaporkan, jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Mejar Ismail Mahedin berkata, kejadian tanah runtuh tersebut bermula pada bahu jalan pada 4.39 petang.
“Pada 4.45 petang, hanya satu lorong sahaja yang boleh dilalui dan jalan itu terputus serta ditutup sepenuhnya pada 6 petang,” katanya.
Menurutnya, lokasi kejadian adalah kira-kira 24km dari Pekan Tatau menghala ke Bintulu.
Pembina lebuh raya, Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU) turut menguar-uarkan kejadian itu kepada orang ramai melalui laman Facebook Pan Borneo Highway Sarawak dan menasihati pengguna supaya berhati-hati.