Pengguna tergendala daftar PADU, tidak terima OTP

Sinar Harian
Januari 2, 2024 17:20 MYT
Tangkap layar hantaran Rafizi di Aplikasi X pada Selasa.
KUALA LUMPUR: Orang ramai berdepan masalah nombor pas pengesahan transaksi (OTP) ketika melakukan pendaftaran selepas satu jam laman sesawang Pangkalan Data Utama (PADU) dibuka pada tengah hari Selasa.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, masalah itu didapati hanya melibatkan pengguna talian Celcom, manakala pengguna talian lain tidak berhadapan masalah.
"Perkara ini sedang dikendalikan pasukan PADU dan MCMC. Pautan bagi sistem tersebut adalah padu.gov.my,” katanya dalam satu hantaran di Aplikasi X.
Sebelum ini, PADU dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Selasa.
Menurut Anwar, kemudahan dan manfaat yang diberikan kerajaan bakal dinikmati sepenuhnya oleh golongan berhak menerusi sistem berkenaan.
Jelas beliau, inisiatif tersebut mampu mengurangkan ketirisan dan perbelanjaan subsidi yang ditanggung kerajaan melebihi RM80 bilion.
Sementara itu, rata-rata netizen di Aplikasi X meluahkan kekesalan dengan talian Celcom apabila tidak menerima OTP menyebabkan mereka gagal untuk melakukan pendaftaran dalam sistem berkenaan.
Pengguna akaun @right_luck_RL berkata, beliau agak kecewa menjadi pengguna talian itu dan memuat naik tangkap layar yang memaparkan tujuh permintaan OTP yang sudah dilakukan tetapi masih gagal untuk melakukan pendaftaran
Turut menerima nasib sama, @riyazpng yang menyifatkan perkhidmatan talian itu sentiasa lambat dan akan menerima nombor tersebut setelah masa tamat.
“OPT dari Celcom memang lambat, selalunya dapat bila tempoh dah tamat. Terpaksa ‘request’ semula dan menyebabkan lebih lama ‘delay’,” katanya.
Dalam pada itu, @kurogane_s berkata, permintaan beliau untuk menghantar perakuan pendapatan masih gagal walaupun sudah mengisi maklumat tersebut dengan lengkap.
“Salam tuan, kenapa isi rumah dan pendapatan papar belum lengkap tetapi saya sudah lengkapkan semua? Tak boleh tekan hantar perakuan,” ujarnya. - Sinar Harian
#PADU #masalah pendaftaran #OTP #Rafizi Ramli
;