Pengguna TBS dijangka meningkat sempena Tahun Baharu Cina

Bernama
Januari 27, 2019 04:58 MYT
Secara purata terdapat 16,000 pengguna TBS setiap hari. - Gambar fail
Bilangan pengguna Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dijangka mencecah 19,000 orang setiap hari sempena perayaan Tahun Baharu Cina, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau berkata secara purata terdapat 16,000 pengguna TBS setiap hari.
"Jumlah itu dijangka meningkat kepada 18,000 hingga 19,000 pengguna setiap hari pada musim perayaan Tahun Baharu Cina," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di TBS yang terletak di Bandar Tasik Selatan di sini pada Ahad.
Menurut Loke, pada musim perayaan, terdapat kira-kira 1,000 trip pelepasan dan 1,000 ketibaan bas di TBS setiap hari.
Beliau berkata untuk memenuhi permintaan terutama pada waktu puncak antara 1 hingga 10 Feb, hampir 300 bas tambahan disediakan termasuk melalui pengeluaran 119 permit kepada syarikat bas yang memohon kelulusan Lesen Perubahan Sementara (LPS).
Mengenai tinjauan itu, Loke berkata secara umumnya beliau berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan termasuk aspek sistem tiket berpusat, tahap keselamatan dan fasiliti untuk pengguna serta pemandu bas.
-- BERNAMA
#Anthony Loke #bas #Menteri Pengangkutan #pengangkutan awam #penumpang #Tahun Baru Cina #TBS #Terminal Bersepadu Selatan
;