Pengguna semakin kurang, kami sukar teruskan tradisi - Pengusaha bot penambang

Hafizi Rosli
November 8, 2022 10:00 MYT
Kondisi bot penambang di Kuala Terengganu, yang sebenarnya menjanjikan pengalaman dan pemandangan indah pusat bandar termasuk Jambatan Angkat, bagi penumpang. - Foto/AstroAWANI
KUALA TERENGGANU : Penggunaan bot penambang cukup sinonim bagi masyarakat Kuala Terengganu tidak lama dahulu, menghubungkan tebing sungai di Kampung Seberang Takir dan Pasar Payang.
Namun kini setelah pembangunan pesat dengan terbinanya Jambatan Angkat, pengangkutan ini semakin tidak mendapat tempat dalam kalangan masyarakat mahupun pelancong sekali gus menjejaskan pendapatan pengusaha.
Bagi pengusaha, mereka mahu meneruskan tradisi ini, namun dengan keadaan yang menghimpit ini, pastinya sukar untuk mereka meneruskan kelangsungan hidup.
Jelas pengusaha, Razmani Razali, majoriti pengguna pada ketika ini hanyalah pelancong sahaja dan orang tempatan tidak lagi menggunakannya kerana adanya kemudahan Jambatan Angkat baharu.
“Kebanyakan pengguna sekarang hanyalah pelancong sahaja, adakala satu ke dua perjalanan sehari.
“Orang tempatan tidak guna bot dah, mereka ikut jalan atas (jambatan), jadi kalau hari bekerja memang sunyi saja,” jelas Razmani kepada Astro AWANI.
Dakwa seorang lagi pengusaha, Muhammad Ibrahim, jika dahulu hampir seratus pengusaha, kini tinggal 15 pengusaha sahaja yang masih ingin meneruskan legasi pengangkutan air itu.
“Masa dulu ada 99 pengusaha, sekarang ada 15 sahaja yang mengusahakannya. Itupun ada bot yang rosak.
“Kalau rosak nak baiki kos cukup tinggi, kos nak baik pulih itu tidak mampu ditanggung pengusaha dengan pendapatan yang sedikit ini,” jelasnya Muhammad.
Tambah Muhamaad, pengangkutan ini adalah aset pelancongan di Kuala Terengganu, namun sekiranya insentif kepada mereka terus ditarik dan tidak dibantu pastinya seorang demi seorang pengusaha bakal gulung tikar.
“Jika dahulu kerajaan negeri ada bagi RM30,000 untuk kos baiki, baik pulih bot, dan elaun RM200 setiap bulan untuk kami meneruskan operasi.
“Selepas kerajaan bertukar tangan maka bantuan itu tiada, ini menyukarkan kami untuk meneruskan tradisi sejak dahulu lagi yang juga merupakan aset pelancongan Kuala Terengganu,” dakwanya.
Dalam pada itu mereka juga mengharapkan supaya kemudahan jeti ditambah baik kerana keadaan yang uzur dan tidak terurus itu akan menyebabkan pelancong gusar untuk mencuba menaiki pengangkuta air ini, yang sebenarnya mempunyai kenunikan tersendiri.
Bot penambang ini merupakan antara produk pelancongan yang mana bot ini sudah beroperasi lebih daripada 60 tahun dahulu sebagai pengangkutan yang menghubungkan kedua-dua tebing sungai terbabit.
Jika dahulu, ia merupakan pengangkutan terpenting kerana menjimatkan masa pengguna untuk ke pusat bandar namun kini apabila ada kemudahan jambatan ia kian dilupakan.
#jambatan angkat #Kuala Terengganu #bot penambang #pelancongan
;