Pengguna perlu bersedia, harga siling ayam, telur dijangka meningkat - Nanta Linggi

Shuhada Abdul Kadir
Januari 7, 2022 14:05 MYT
Jangkaan kenaikan harga itu bagi mendapatkan situasi menang-menang antara pengguna dan penternak yang terpaksa menanggung peningkatan kos operasi perniagaan. - Gambar fail
JASIN: Pengguna perlu bersedia dengan peningkatan harga siling ayam segar dan telur sejurus Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM), tamat Februari ini.
Menteri Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia bagi mendapatkan situasi menang-menang antara pengguna dan penternak yang terpaksa menanggung peningkatan kos operasi perniagaan.
Beliau berkata, pihaknya mengakui penetapan harga beberapa barangan keperluan termasuk ayam segar yang kini berada di paras harga siling RM9.10 sekilogram sedikit kompleks untuk diselaraskan dalam memastikan bekalan mencukupi di seluruh negara.
Ujarnya, jangkaan kenaikan harga dibuat menerusi sesi libat urus yang diadakan KPDNHEP bersama pelbagai agensi termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Industri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan persatuan penternak semalam.
Kerajaan juga akan mengkaji semula harga siling selain mencari mekanisme terbaik supaya tiada mana-mana pihak terbeban dengan penyelarasan harga yang ditetapkan.
“Sejauh mana kita boleh buat kawalan harga itu? Kalau terlalu lama ia akan jejaskan industri penternak ayam.
“Betul, kita kena bersedia. Peratusannya tidak pasti tetapi jangan risau KPDNHEP jaga kepentingan pengguna. Kita sentiasa buat libat urus,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Rambai, Jasin pada Jumaat.
Mengulas lanjut katanya, pihaknya menyedari penyelesaian tuntas perlu dilakukan segera dan harga bekalan itu juga mungkin boleh mencatatkan penurunan mendadak sekiranya ayam bulat sejuk beku mula berada di pasaran negara.
Ini kerana ujarnya, sekiranya bekalan melebihi jumlah pemintaan, sekali gus akan berlaku persaingan yang boleh menyebabkan penurunan harga.
#harga siling #Harga Ayam #harga telur #nanta linggi
;