Pengguna perlu ada kesedaran, jauhi peniaga tawar harga mahal
Hasimi Muhamad
Disember 23, 2022 18:44 MYT
Disember 23, 2022 18:44 MYT
PUTRAJAYA: Pengguna disarankan menjauhi para peniaga yang dirasakan mengenakan harga yang terlalu tinggi berbanding harga purata peniaga-peniaga lain.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata kesedaran tersebut dipercayai akan menekan peniaga terbabit untuk menurunkan harga.
Jelas beliau lagi, gerakan memberi kesedaran kepada rakyat juga wajar dilaksanakan agar bertindak balas kepada kenaikan harga makanan dan minuman bukan alkohol untuk memastikan hubung kait permintaan dan bekalan lebih anjal.
“Ia bukan boikot tetapi anda tidak perlu beli. Kita ada banyak pilihan (tawaran harga yang lebih rendah).
“Bercakap mengenai makanan dan minuman, kita tengok pecahan inflasi yang betul-betul mendorong inflasi.
“Sementara kementerian-kementerian terbabit mengusahakan langkah-langkah jangka sederhana dan jangka panjang di sebelah bekalan, saya juga memilih untuk memperbaiki keanjalan saling kait harga dan bekalan dalam usaha menangani inflasi,” katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pengumuman Penerbitan Harga IHP November di sini pada Jumaat.
Hadir sama Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.
Rafizi berkata, satu kategori perbelanjaan yang paling mempengaruhi inflasi adalah harga barangan makanan dan minuman bukan alkohol iaitu kumpulan perbelanjaan yang paling besar bagi isi rumah.
Justeru, beliau memilih untuk memperbaiki keanjalan saling kait harga dan bekalan dalam usaha menangani inflasi, sementara kementerian-kementerian terbabit mengusahakan langkah-langkah jangka sederhana dan jangka panjang.
Kementerian Ekonomi, ujarnya, akan turut memberi tumpuan jangka pendek kepada kebertanggungjawaban harga berpatutan dengan membangunkan ekosistem berasaskan data-data harga dari seluruh negara untuk menyuntik keanjalan harga dan bekalan.
Ekosistem tersebut kata Rafizi diharap akan dibangunkan dan digerakkan oleh pengguna sendiri untuk dilancarkan dalam masa sebulan, sekali gus membantu menambah keanjalan di sebelah permintaan, sebagai satu usaha mengawal inflasi pada masa akan datang.