Pengguna penstriman haram terdedah kepada risiko kebocoran data peribadi - JSJK

Raja Hisyam Raja Zaid
Jun 9, 2022 12:00 MYT
Mohd Kamarudin berkata orang ramai sebenarnya tidak sedar bahawa mereka terdedah kepada kebocoran data peribadi menerusi penggunaan penstriman haram. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Industri penyiaran negara mengalami kerugian lebih RM3 bilion setahun akibat aktiviti penstriman haram dan cetak rompak.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din, orang ramai juga sebenarnya tidak sedar bahawa mereka terdedah kepada kebocoran data peribadi menerusi penggunaan penstriman haram.
"Mereka yang dapatkan daripada kotak-kotak (penstriman haram) kualitinya amat kurang kalau kita bandingkan daripada yang sebenar dan jauh berbeza.
"Mereka ini juga terdedah kepada (kebocoran) maklumat dan mereka mungkin akan digunakan untuk scam (penipuan) yang lain. Jadi mereka kena fahamlah tentang perkara itu," jelasnya ketika hadir merasmikan Seminar Penguatkuasaan Penstriman dan Cetak Rompak Terhadap Industri Penyiaran di Dewan Ketua Polis Negara, Maktab PDRM di sini hari ini.
Seminar yang diadakan turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selain Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Jelasnya lagi, JSJK ketika ini sentiasa meningkatkan penguatkuasaan dan operasi yang dilakukan bagi membendung aktiviti berkenaan daripada terus menular.
Namun jelasnya apa yang penting adalah untuk menyedarkan orang ramai tentang bahaya atau risiko yang dihadapi mereka menerusi aktiviti tersebut.
Malah JSJK juga telah memperhebatkan kempen pencegahan bagi mendidik dan mendedahkan informasi dari semasa ke semasa malah pada skala yang lebih besar pada bulan ini dan bulan depan.
Ia penting katanya memandangkan jenayah komesial yang berlaku sangat terkait dengan sikap orang ramai itu sendiri.
"Untuk bulan ini dan bulan depan kita akan buat pada skala yang lebih besar dimana pelancarannya kita akan buat di Johor pada hujung bulan Jun ini.
"Kita nak beri maklumat yang secukupnya kepada masyarakat tentang scam dan juga termasuklah aktiviti-aktiviti jenayah komersial yang lain supaya masyarakat boleh memperkasakan diri mereka," katanya lagi.
Sementara itu beliau menyifatkan seminar yang diadakan hari ini bertepatan pada masanya untuk pihak JSJK dan juga pemain-pemain industri seperti Astro untuk bertukar maklumat dan pandangan bagi turut sama membenteras aktiviti penstriman haram di negara ini.
Seminar sebegini dilihat sebagai satu jalinan kerjasama yang diperlukan dalam konteks membendung isu jenayah komersial dengan lebih berkesan.
#penstriman haram #JSJK #Cetak rompak #Astro
;