Pengguna, peniaga di Kelantan dakwa sukar dapat bekalan gula
Bernama
Mei 1, 2023 16:29 MYT
Mei 1, 2023 16:29 MYT
KOTA BHARU: Sambutan Ramadan baru-baru ini dan Aidilfitri pada masa ini mendorong permintaan tinggi pengguna di Kelantan khususnya bandar raya ini terhadap barangan keperluan termasuk gula.
Seorang warga emas, Ainy Md Yunos, 71, dari Pengkalan Chepa berkata dia sudah kehabisan gula dan mencari bekalan itu di beberapa kedai runcit sejak tiga hari lepas namun gagal memperolehnya.
"Setakat ini, saya terpaksa menggantikan penggunaan gula dalam masakan dan minuman dengan stevia untuk sementara waktu sehingga bekalan gula diperoleh," katanya kepada Bernama hari ini.
Peniaga sate, Siti Aminah Awang, 65, dari Kampung Baung berkata dia memerlukan lebih 20 kilogram gula sehari untuk menghasilkan kira-kira 2,000 cucuk sate.
"Ketiadaan gula sedikit sebanyak mengganggu peniagaan memandangkan gula antara bahan utama dalam masakan mahupun minuman," katanya.
Peniaga kedai runcit, Sepiah Ismail, 64, dari Kampung Landak berkata bekalan gula untuk dijual kepada pelanggannya habis sejak dua hari lepas.
Katanya dia sedang berusaha mendapatkan bekalan gula sebanyak 240 kilogram seperti kebiasaannya daripada pembekal di sekitar daerah ini untuk menampung keperluan pelanggan.
Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan Azman Ismail ketika dihubungi berkata pihaknya telah mengagihkan sebanyak 250,000 kilogram gula hari ini kepada sejumlah pasar raya di negeri ini.
"Bekalan ini (gula) akan diagih secara berperingkat termasuk kepada pemborong dan peruncit dari semasa ke semasa. Kita jangkakan masalah kekurangan bekalan gula dapat diselesaikan secara keseluruhan dalam tempoh dua hari lagi," katanya.
-- BERNAMA